Ahad, 24 November 2013

@NajibRazak @AliHamsa55 @TKSUKJPM Agensi Kerajaan Perlu Proaktif Dalam Menyelesaikan Masalah Rakyat

SADONG JAYA 24 Nov. - Agensi kerajaan perlu proaktif dalam menjawab dan menyelesaikan segera setiap permohonan rakyat bagi mengelakkan ia menjadi isu yang boleh menjejaskan kredibiliti jabatan masing-masing, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

Nancy, yang juga anggota Parlimen Batang Sadong, berkata segala permohonan perlu diberikan perhatian dan dijawab oleh kakitangan terbabit supaya rakyat dapat mengetahui kedudukan atau status permohonan mereka.

"Jika permohonan yang dibuat tidak diluluskan maka agensi yang terlibat harus menjelaskan segera sebab mengapa keputusan itu dibuat bagi mengelak salah faham yang boleh menimbulkan pelbagai tanggapan buruk dari peringkat akar umbi," katanya ketika merasmikan program derma darah dan berkhatan peringkat Sadong Jaya sempena sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia di sini.

Beliau berkata, pihak pembangkang sering kali mengkritik dan melihat setiap kemudahan yang disediakan pihak kerajaan sebagai agenda politik kerajaan bagi meraih sokongan rakyat, yang tidak benar sama sekali.

Nancy juga berkata, tinjauan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada Jun tahun ini mendapati hanya 36 peratus kaum bapa meluangkan masa sehingga satu hingga 10 jam seminggu dengan anak-anak mereka, menunjukkan bahawa komunikasi bapa dengan anak amat kurang.

"Mereka seharusnya menggunakan sepenuhnya teknologi maklumat termasuk teknologi komunikasi WhatsApp dan mesej teks ringkas agar hubungan antara anak dan ibu bapa terus subur kerana institusi kekeluargaan yang kukuh dapat mencegah anak-anak daripada terpengaruh dengan kegiatan negatif dan masalah sosial," katanya. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131124/dn_21/Agensi-kerajaan-perlu-proaktif-jaga-kredibiliti-jabatan#ixzz2lXWs55F3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...