Isnin, 19 Mac 2012

Abdul Kadir Letak Jawatan Dalam UMNO Kuat Kuasa Hari Ni @NajibRazak @TengkuAdnanReal

PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee menegaskan bekas pemimpin veteran Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir sepatutnya terus menyokong agenda perjuangan parti dan bukannya menggertak untuk meninggalkan parti tersebut.

"Bagi saya, setiap ahli parti...hidup setia mereka tetap pada parti walaupun tidak lagi memegang sebarang jawatan termasuklah jawatan menteri.

"Jangan bila parti terima banyak tekanan, kita sebagai orang lama ambil kesempatan tunjuk kehebatan kita. Pemimpin seperti itu tidak layak jadi ahli Umno," katanya kepada mStar Online, Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Kadir yang memutuskan untuk keluar sebagai anggota Umno berkuat kuasa, Isnin.

Menurut Syed Ali, tindakan tersebut menunjukkan sikap sebenar bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno itu selepas tidak lagi memegang apa-apa jawatan.

"Mungkin dia ingat pakatan pembangkang boleh menang pada pilihan raya akan datang...jadi dia tinggalkan Umno setelah mendapat segala-galanya bersama Umno sebelum ini," katanya.

Syed Ali berkata, Abdul Kadir sepatutnya bersyukur dan menghargai jasa baik parti terhadap beliau selama ini.

"Macam dulu, kita sentiasa beri sokongan kepada beliau. Sepatutnya pada waktu begini, dia pula yang patut bantu parti bukannya bersikap ego," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan turut memuji tindakan berani Abdul Kadir yang keluar daripada Umno selepas secara terang-terangan mengkritik parti tersebut.

"Dengan keputusan itu, segala teka-teki telah terjawab. Jadi saya berpendapat, tindakan keluar parti amat tepat," katanya.

Abdul Rahman yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah berkata, Abdul Kadir tidak perlu berselindung dan bersikap hipokrit selepas ini jika beliau ingin mengkritik Umno memandangkan dia bukan lagi ahli parti.

"Lepas ini senang dia nak kritik parti. Tindakannya itu memberikan kita gambaran sebenar siapa kawan dan siapa lawan," katanya.

Baru-baru ini, Abdul Kadir dikritik ramai kerana enggan menyatakan pendiriannya sama ada menyokong BN atau pembangkang berikutan kenyataannya pada Januari lepas yang mendakwa BN memberi antara RM200 dan RM1,000 bagi membeli undi untuk memenangi pilihan raya umum lepas.

Pada Ahad, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Abdul Kadir tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan imej parti.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Abdul Kadir tidak keluar parti sekiranya merasakan Umno tidak betul.

Dan hari ini (Isnin) Kadir telah bertindak keluar dari Umno.

Sepanjang kerjayanya bersama Umno, Kadir telah menyandang pelbagai jawatan - daripada setiausaha politik, setiausaha parlimen, timbalan menteri dan menteri penuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...