Rabu, 29 Februari 2012

Taktik Kotor Peniaga Penjual Telefon Bimbit 13 Ditahan


Taktik kotor peniaga yang menjual telefon bimbit tiruan di sebuah kompleks beli-belah di Ibu negara terbongkar, apabila 13 individu ditahan termasuk seorang penyelia premis yang cuba memberi suapan kepada polis. 

Dalam serbuan kira-kira jam 1.30 petang pada Sabtu lalu, sebanyak 15 premis diperiksa oleh polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur dan bahagian penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pemeriksaan awal mendapati premis terbabit dikesan menjual telefon bimbit tiruan kepada pengunjung kompleks terutamanya pelancong asing. 


“Kita tahan 12 penjual telefon berusia antara 27 hingga 30 tahun untuk proses dokumentasi dan membantu siasatan mengikut Seksyen 8(B) Akta Perihal Dagangan 2011. “Turut dirampas sebanyak 114 telefon bimbit pelbagai jenama yang disyaki tiruan,” katanya pada sidang akhbar semalam. 

Menurutnya, dalam operasi sama, seorang penyelia sebuah daripada premis diperiksa, cuba memberi suapan kepada seorang pegawai dan tiga anggota polis yang sedang menjalankan tugas. “Penyelia berusia 27 tahun itu kemudiannya meletakkan sampul putih berisi wang tunai RM1,500 atas rak cermin berhadapan anggota dan pegawai saya yang bertugas. 

“Tindakan suspek mengundang padah kepada dirinya kerana kita terus tahan dia untuk siasatan di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana cuba menawarkan rasuah,” katanya. Dalam perkembangan sama, Mohmad berkata, sebanyak 150 laporan polis diterima bagi tempoh tahun 2010 sehingga awal tahun ini berhubung kegiatan peniaga-peniaga di kompleks terbabit yang menjual telefon bimbit tiruan. 

Beliau berkata, 97 laporan itu diterima daripada pelancong asing, manakala 53 lagi daripada orang tempatan. Menurutnya, siasatan awal menunjukkan peniaga-peniaga terbabit menyasarkan pelancong dan pengunjung asing kerana mereka lebih mudah dimanipulasi berbanding pengunjung tempatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...