Jumaat, 17 Februari 2012

Pasangan Kantoi Di Hari Kekasih


Hasrat kononnya ingin menjadikan Hari Kekasih sebagai hari istimewa bersama pasangan bertukar menjadi mimpi ngeri kepada 102 orang yang dicekup Jabatan Agama Islam Johor (Jaij), malam kelmarin. 

Jumlah itu adalah mereka yang ditahan di seluruh negeri ini dalam Operasi (Ops) Kekasih dilakukan Jaij bermula jam 10 malam hingga dua pagi. Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jaij, Mohd Zamri Kambari berkata, kesemua mereka ditahan dalam beberapa serbuan di hotel bajet dan tempat awam dan berusia sekitar 18 hingga 40 tahun. 


“Daripada jumlah tersebut, 94 orang merupakan rakyat tempatan, tujuh warga Indonesia dan seorang lagi warga Bangladesh,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Menurut Mohd Zamri, sebanyak 44 pasangan disiasat mengikut Seksyen 27 (1)(a) & (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana berkhalwat. 

Katanya, seramai 12 orang pula disiasat mengikut Seksyen 29 enakmen sama kesalahan berkelakuan tidak sopan di tempat awam dan dua di bawah Seksyen 19 enakmen sama kerana meminum minuman memabukkan. Kesemua yang ditahan telah diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan sementara. 

Sementara itu, dalam salah satu operasi yang dijalankan, seorang wanita bagaikan tidak serik apabila dicekup buat kali ketiga di sebuah hotel murah di Taman Puteri Wangsa, di sini, kelmarin. Wanita berusia 22 tahun yang sebelum ini pernah ditahan dua kali atas kesalahan sama dicekup bersama pasangannya berusia 30-an ketika serbuan dijalankan pada jam 11.30 malam. 

Turut ditemui di bilik yang disewa oleh pasangan itu peralatan dan dadah dipercayai jenis syabu. Dalam operasi sama, seorang lelaki hampir pitam apabila bilik yang disewanya diserbu penguatkuasa. Lelaki berasal dari Kota Tinggi itu kelihatan pucat dan berpeluh-peluh apabilanya dihujani pelbagai soalan daripada pegawai bertugas. Dalam Ops Kekasih tahun ini, seramai 78 penguatkuasa Jaij terlibat di seluruh daerah negeri Johor.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...