Rabu, 8 Februari 2012

Panas Panas PFN: Rafizi, Zuraida Sah Terima Kertas Saman, Sedia Bertemu Shahrizat Di Mahkamah


Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli pada Rabu mengesahkan menerima kertas saman yang dikemukakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Susulan saman tersebut, Zuraida dan Rafizi telah melantik pasukan peguam dan bersedia ke mahkamah pada bila-bila masa. 

"Kami yakin saman tersebut tidak ada asas dan bersedia untuk bertemu di mahkamah pada bila-bila masa sahaja. "Untuk tujuan itu, kami telah melantik satu pasukan peguam yang terdiri daripada Ranjit Singh, Sivarasa Rasiah, N Surendran dan Gopal Sreenevasan," katanya yang dipetik dari laman web rasmi Rafizi, Rabu. Katanya, kesempatan bersemuka di mahkamah dengan Shahrizat dan NFC akan digunakan sepenuhnya untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai penyelewengan NFC.


Penyelewengan tersebut termasuklah dokumen-dokumen rasmi yang boleh membantu memberikan gambaran sebenar bentuk urusan dan penyelewengan yang berlaku di dalam NFC. "Oleh sebab itulah, kami mengalu-alukan saman yang dikemukakan oleh Datuk Seri Shahrizat Jalil ini kerana ia memberi peluang untuk mendapatkan maklumat-maklumat penting yang kini tersembunyi dari pengetahuan rakyat," katanya.

Zuraida dan Rafizi berkata, mereka juga bersedia memanggil saksi-saksi penting yang bertanggungjawab membuat keputusan bersabit NFC di semua peringkat kerajaan dan pihak-pihak lain bagi membantu merungkai skandal besar negara ini. Pada Januari, Shahrizat memfailkan saman fitnah menuntut ganti rugi RM100 juta terhadap , Zuraida dan Rafizi berhubung isu Pusat Fidlot Nasional (NFC). 

Shahrizat menuntut ganti rugi am disebabkan fitnah secara lisan yang memudaratkan berjumlah RM50 juta serta ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM50 juta. Shahrizat juga menegaskan beliau tidak pernah memegang apa-apa jawatan dalam NFC dan juga tidak memainkan sebarang peranan di dalam proses penganugerahan projek ini kepada Agro-Science Industry Sdn Bhd. 

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang serta Rafizi telah dikatakan secara konsisten melancarkan satu kempen untuk menyerang dan memfitnah Shahrizat sejak November 2009 selaku Ketua Pergerakan Wanita Umno, menteri dan beliau sendiri sebagai seorang individu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...