Khamis, 22 Mac 2012

'Janji Manis Pembangkang Tak Realistik' Kata Najib


Janji pihak pembangkang yang mahu menaikkan pembayaran royalti minyak kepada Sabah daripada lima peratus kepada 20 peratus merupakan satu janji kosong sempena pilihan raya yang akan tiba tidak lama lagi. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelbagai janji kosong yang ditaburkan oleh pihak pembangkang dalam mengaburi mata rakyat demi mendapat sokongan. Najib berkata, pelbagai janji manis yang tidak realistik disajikan kepada rakyat termasuk melupuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berjumlah RM40 bilion.


Beliau berkata, selain ingin menghapuskan PTPTN, pembangkang juga menjanjikan untuk mengkaji kadar tol dan petrol serta meningkatkan subsidi. "Jadi di manakah mereka untuk mencari pendapatan beratus bilion ringgit dalam setahun bagi menguruskan negara dan ia belum lagi melibatkan janji mereka dalam Buku Jingga. 

"Ini semua janji kosong yang diberikan pembangkang untuk mengaburi mata rakyat demi meraih undi menjelang pilihan raya," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pecah tanah projek Samur yang dimiliki oleh anak syarikat Petronas, Petronas Chemicals Group Bhd. 

Menurut Najib, janji pihak pembangkang tersebut bukan satu yang realistik kerana pembayaran royalti minyak dibuat berdasarkan keseluruhan pendapatan kerajaan. Jelas beliau, jika perkara tersebut dilaksanakan, ia bakal menyaksikan banyak pemotongan peruntukan perbelanjaan dalam kementerian terpaksa dilakukan. 

Tambah beliau, tanpa melaksanakan penambahan pembayaran royalti minyak, kerajaan sudah memastikan peruntukan yang disediakan kepada Sabah sudah mampu membiayai pembangunan di negeri bawah bayu tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...