Rabu, 15 Februari 2012

Jabatan Kerajaan Perlu Turun Padang Selesai Masalah Rakyat


Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua jabatan kerajaan lebih kerap turun padang menyelesaikan masalah rakyat. Perdana Menteri berkata, kesungguhan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta beberapa agensi lain menjayakan kempen MyDaftar membabitkan komuniti India wajar dicontohi jabatan kerajaan lain. 

Di dalam kempen tersebut, kata Perdana Menteri, para petugas bukan setakat menguruskan permohonan bagi mendapatkan pengenalan diri di kaunter pejabat tetapi mereka turut menemui rakyat yang menghadapi masalah serupa di kediaman masing-masing. Hasilnya, beliau berkata, masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri yang membelenggu segelintir penduduk India negara ini atas beberapa faktor berjaya diselesaikan dengan segera. 


‘‘Kempen MyDaftar ini telah berjaya mencipta sejarah. Kami tidak lagi menunggu rakyat yang menghadapi masalah datang ke Putrajaya sebaliknya kami yang datang ke rumah bertemu dengan rakyat dan seterusnya selesaikan masalah mereka. ‘‘Pendekatan ini perlu dicontohi oleh semua agensi serta jabatan kerajaan lain kerana jelas terbukti hasil daripada tindakan proaktif seperti ini masalah ketiadaan dokumen diri mampu diatasi dengan segera,’’ katanya.  

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Dokumen Pengenalan Diri Kempen MyDaftar bagi masyarakat India di Dewan Perdana Mestika, Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini, hari ini. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri G. Palanivel; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam. 

Pada majlis tersebut, Najib turut menyampaikan dokumen pengenalan diri yang telah diluluskan kepada 100 penerima kaum India. Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kempen MyDaftar untuk komuniti India itu telah diadakan pada 19 hingga 26 Februari tahun lalu di sembilan buah negeri melibatkan seramai 15,000 pemohon. Daripada jumlah itu katanya, 9,529 permohonan telah dipanjangkan kepada pihak kerajaan untuk tindakan lanjut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...