Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin segala masalah berbangkit berhubung Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan dapat diselesaikan lebih awal iaitu sebelum tempoh ditetapkan untuk pasukan khas itu membuat semakan yang berakhir 16 April ini.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata selepas bermesyuarat sebanyak tiga kali, pihaknya mendapati anggota jawatankuasa pasukan khas itu juga semakin terbuka dalam mendengar pandangan dan maklum balas daripada Cuepacs.
"Dalam perbincangan hari ini, suasana tenang sedikit selepas dua mesyuarat petugas khas berjalan. Kita berbincang dengan baik dan dalam perbincangan, kita harap SBPA dapat diselesaikan sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat ketiga pasukan petugas khas itu di sini, Selasa.
Beliau berkata selain mengambil perhatian mengenai aduan-aduan individu berhubung SBPA, lima tuntutan utama Cuepacs sebelum ini masih dibincangkan pada mesyuarat kali ini.
Lima tuntutan itu ialah mengkaji semula prinsip pemindahan gaji penjawat Gred 54 ke bawah; mengekalkan status kekananan penjawat dalam Skim Saraan Malaysia (SSM); mengkaji semula tangga gaji maksimum; menyenaraikan penjawat yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.
Omar berkata mesyuarat pasukan petugas khas seterusnya dijangka diadakan pada 22 Februari ini.
Dalam pada itu, Omar berkata pertemuannya dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan baru-baru ini juga mendapat reaksi positif dan Mohd Sidek pada dasarnya bersetuju dengan perkara dibangkitkan Cuepacs untuk diberi pertimbangan khas.
"Berdasarkan itu kita berasa lega dan pada Khamis dan Jumaat ini, kita akan mengadakan bengkel Jawatankuasa Bertindak Cuepacs di Hotel Putra, Kuala Lumpur yang akan disertai penjawat awam antaranya daripada gred 54, persatuan jurutera dan persatuan akademik.
"Perkara-perkara yang tidak memuaskan hati penjawat awam akan diberi fokus dan kita akan buat satu kertas kerja komprehensif. Ini akan menjadi satu penyelesaian permulaan," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan