Khamis, 9 Februari 2012

25,000 RUMAH PPR MTEN, PA DBKL Sudah Dibeli


Daripada 35,000 unit rumah yang ditawarkan untuk dijual di bawah Skim Pembiayaan Khas pembelian unit kediaman Projek Perumahan Rakyat MTEN (PPR-MTEN) dan Perumahan Awam DBKL (PA DBKL), kira-kira 25,000 penyewa rumah berkenaan sudah menyatakan minat untuk membelinya. 

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, lebih 12,000 penyewa unit-unit rumah berkenaan sudah menandatangani surat tawaran untuk membeli rumah yang didiami mereka. 


Beliau berkata, kira-kira 7,000 masih sedang menunggu urusan pembiayaan bagi membeli unit-unit rumah itu, manakala lebih 5,000 lagi sudah mendapat pinjaman untuk pembiayaan, atau memilih untuk membiayai sendiri pembelian unit itu secara tunai. 

Katanya, setakat ini pihaknya baru menawarkan 35,000 unit rumah berkenaan, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan persetujuan kerajaan melaksanakan skim yang dicadangkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu hujung bulan lepas. 

"Pembeli ini kebanyakannya adalah daripada kalangan setinggan yang dipindahkan pada tahun-tahun 80-an atau 90-an, yang dijanjikan bahawa suatu hari nanti mereka akan ditawarkan untuk memiliki rumah-rumah berkenaan,” katanya dalam persidangan media di bilik mesyuarat Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar di sini hari ini. 

Nong Chik berkata, semua pihak yang terlibat mendapat banyak manfaat menerusi skim ini, di mana di pihak pembeli tidak perlu membuat bayaran pendahuluan untuk membeli rumah berkenaan, dan pembiayaan yang disediakan pula mencecah 100 peratus. 

Jelas beliau, DBKL pula memberi jaminan untuk membeli semula rumah-rumah itu sekiranya pembeli gagal membayar balik pinjaman mengikut tempoh yang ditetapkan, dan ia juga menyediakan satu “Dana Rizab Pembelian Semula” bagi memastikan ia sentiasa mempunyai dana untuk berbuat demikian. Menurutnya, DBKL boleh menjual balik rumah-rumah itu kepada ramai yang disenarai sebagai bakal pembeli yang menunggu tawaran.

Beliau berkata, kadar keuntungan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menyediakan dana pembiayaan untuk skim itu adalah 5.5 peratus setahun.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...