Selasa, 31 Januari 2012

Perdana Menteri Mohon Agar Pemimpin Dan Seluruh Anggota BN Berkerja Keras Dalam PRU-13 Nanti


Datuk Seri Najib Razak meminta pemimpin dan anggota parti Barisan Nasional (BN) supaya sentiasa bekerja keras dan merapatkan barisan bagi mendapatkan keyakinan serta mengekalkan mandat daripada rakyat. 

Perdana Menteri berkata, hanya pasukan yang bersatu dan kuat mampu berdepan dengan cabaran serta ujian pada pilihan raya umum akan datang. Sambil memetik ungkapan Inggeris ‘rumah yang retak akan runtuh’, beliau mengingatkan semua parti komponen bahawa parti itu akan tumbang jika mereka berpecah-belah. 


Untuk kita mendapatkan mandat yang sepenuhnya daripada rakyat, dua perkara amat penting yang perlu dilakukan, iaitu pertama, bekerja kuat dan menggunakan strategi yang betul... (tetapi) bekerja kuat itu adalah keperluan utama. “Sebab itu, apabila ada majlis sambutan Tahun Baru Cina (peringkat Kebangsaan) di Sitiawan malam tadi (kelmarin), kehadiran hampir 60,000 orang itu adalah (salah satu) ukuran kerja kuat yang kita buat untuk menambahkan keyakinan rakyat kepada BN,” katanya berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina MCA Perak di sini, semalam. 

Hadir sama, Presiden MCA yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MCA Perak, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha serta Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Najib yang juga Pengerusi BN berkata, perkara kedua yang perlu dilakukan bukan saja kepada parti komponen tetapi juga negara ialah mereka mesti mengutamakan perpaduan pada semua peringkat dan percaya jika ia dapat dilaksanakan, parti akan menang dan berjaya pada masa depan.

Beliau juga berkata, apa yang penting bagi parti dan rakyat ialah berasa yakin kepada kerajaan di bawah pimpinan BN yang bukan saja mempunyai wawasan jelas untuk masa depan tetapi sudah terbukti menjadi sebuah kerajaan cekap yang boleh mencapai cita-cita dan impian besar untuk negara. Katanya, ia tidak sama seperti agenda yang dibawa pembangkang kerana terlalu banyak janji yang sebenarnya tidak realistik dan tidak berpijak di bumi nyata kerana mereka menjadikan janji kepada rakyat sebagai senjata utama untuk meraih sokongan. 

“Satu perkara yang kita mesti sedar bahawa apabila menjadi pembangkang, senjata utama yang ada pada mereka ialah untuk membuat janji... tidak kisah sama ada janji itu boleh ditunaikan atau tidak, apa yang diutamakan ialah mereka membuat janji bulan, bintang dan langit.. bagi mereka itu senjata penting yang mereka ada. “Jadi, sebagai pengundi, kita jangan kena tipu dengan kaedah atau pendekatan demikian.

Apa yang kita mahu bukan janji kosong tetapi kerajaan yang cekap dan boleh menunaikan serta menjanjikan masa depan semua rakyat Malaysia. “Saya memberi komitmen kepada rakyat bahawa itulah yang BN boleh dan akan buat sekiranya (terus) mendapat mandat daripada rakyat,” katanya. 

Najib juga mahu semua parti komponen BN di Perak bekerja keras dan memberi kerjasama kepada Zambry selaku Pengerusi BN negeri supaya Perak terus kekal sebagai negeri BN pada Pilihan Raya Umum akan datang. Dalam lawatan singkatnya ke Perak, Perdana Menteri berkesempatan mengunjungi tiga rumah penduduk miskin di Sitiawan serta merasmikan sambutan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2012 malam kelmarin dan pagi semalam meluangkan masa 30 minit pada majlis di sini sebelum beredar untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Kinta.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...