Rabu, 11 Januari 2012

Lima Orang Tercedera Termasuk Peguam Ddalam Letupan Bom di Perhimpunan #bebas Anwar 901

Tiga butir bom buatan sendiri yang meletup sehingga mencederakan lima individu di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini semalam, dipercayai dibawa oleh mereka yang menyertai perhimpunan Kempen Bebas Anwar 901.

Ini kerana, polis yang membuat pemeriksaan ketat di seluruh kawasan perhimpunan sebelum membenarkan peserta memasuki lokasi itu seawal pukul 4 pagi, tidak menemui sebarang objek berbahaya. Sumber polis berkata, siasatan awal percaya, bom-bom tersebut dibawa oleh mereka yang menyertai perhimpunan itu.

“Kawasan tersebut telah dikawal oleh anggota polis sehari sebelum perhimpunan selain pemeriksaan dibuat secara rapi. “Malah, pemeriksaan terakhir turut dilakukan sebelum peserta perhimpunan dibenar berkumpul di kawasan itu dan tiada objek berbahaya ditemui. “Sebab itu kita percaya bom buatan sendiri yang lengkap dengan jam jangka itu dibawa oleh peserta perhimpunan,” katanya. 

Beliau menambah, polis terpaksa mengambil masa untuk menyiasat insiden tersebut berdasarkan rakaman video yang diambil kerana kawasan berkenaan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV). Dalam kejadian itu, lima termasuk seorang peguam cedera dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur. 

Letupan pertama berlaku pukul 10.20 pagi di Jalan Khidmat Usaha disusuli 25 minit kemudian letupan kedua di kafeteria mahkamah. Bom ketiga yang disembunyikan di bawah kon di hadapan mahkamah meletup pukul 10.55 pagi. Kesemua peserta perhimpunan mula berada di kawasan terbabit sejak pukul 4 pagi manakala kafeteria dibuka pada waktu pejabat. 

Sementara itu, Polis Kontinjen Kuala Lumpur mengesahkan tiga letupan yang berlaku semalam berpunca daripada bom jangka buatan sendiri. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pihaknya menunggu pengesahan pakar dan ahli kimia untuk menentukan jenis dan kelas bahan letupan itu. 

Antara bahan-bahan yang ditemui di kawasan letupan itu ialah serpihan kon plastik, bebola gegalas, jam dan bateri, katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook Polis Kuala Lumpur hari ini. “Polis telah mengumpul semua bahan bukti di tempat kejadian dan akan dihantar untuk dianalisis dan sedang mengesan saksi-saksi lain yang boleh membantu dalam penyiasatan berhubung kejadian tersebut,” kata Mohmad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...