Jumaat, 27 Januari 2012

Barisan Naisonal Akan Letak Calon Yang Bersih Kata Ibrahim Ali


Barisan Nasional (BN) akan hanya dapat menawan negeri ini sekiranya membariskan calon yang dilihat bersih oleh rakyat pada pilihan raya umum akan datang. Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, peluang parti tersebut untuk merampas semula negeri ini sememangnya cerah kerana rakyat mahukan perubahan selepas lebih 20 tahun di bawah pemerintahan Pas. 

Beliau berkata, BN juga perlu menonjolkan calon Menteri Besar yang benar-benar bersih serta mempunyai kelebihan dalam bidang agama disebabkan ia selaras dengan kehendak rakyat. "Saya bersetuju dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, BN boleh mengambilalih negeri ini, tetapi dengan syarat BN mesti meletakkan calon yang benar-benar dilihat bersih. "Berdasarkan pengalaman saya dalam politik Kelantan sejak 1978, rakyat Kelantan pantang dengan calon kontroversi dan tidak bersih. 


"Kalau ada calon bersih, ada pendidikan, kreatif, berinovasi, saya yakin kerajaan Kelantan akan berubah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Kebangsaan Dato' Hamid I di sini hari ini. Pada majlis itu, seramai 341 pelajar cemerlang dari seluruh Parlimen Pasir Mas menerima sumbangan berupa wang tunai dan beg sekolah. 

Akhbar sebelum ini melaporkan Najib yakin BN berpeluang untuk merampas Kelantan daripada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang. Najib, yang juga Presiden UMNO melahirkan keyakinan tersebut semasa perjumpaan dengan pemimpin BN Kelantan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dekat sini hari ini, sebelum mengakhiri lawatan setengah hari ke negeri ini. 

Beliau menyatakan, walaupun pertandingan antara BN dan Pas amat sengit, Kelantan merupakan winnable state bagi BN pada pilihan raya umum itu. Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, beliau berharap Najib akan mengambil kira faktor tersebut sebelum membuat keputusan. 

"Saya yakin rakyat negeri ini mahukan perubahan kerana terlalu sedikit perubahan dibawa Pas selepas 20 tahun memerintah. "Politik di Kelantan berbeza, politik Kelantan ada 'pemujaan' terhadap pemimpin atau patronage, mereka akan melihat kepada 'kepala' sebagai contoh, Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai ketua bersih, jika ada pemimpin lain yang tidak seberapa pun mereka akan pilih sebab 'kepalanya'," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...