Khamis, 5 Januari 2012

AMBIGA PERLU NYATAKAN PENDIRIAN ATAS PERHIMPUNAN 9 JANUARI NANTI - SHAHRIZAT


Shahrizat VS Ambiga


Bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga diminta menyatakan pendirian berhubung penganjuran perhimpunan haram Kempen Bebaskan Anwar 901 yang bersandarkan slogan 'rakyat menjadi hakim negara' pada 9 Januari ini. 


Gesaan itu dilontarkan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mahukan pengamal undang-undang itu menjelaskan pendirian beliau berhubung perkara tersebut. ''Saya bagi pihak Wanita UMNO dan Barisan Nasional (BN) nak tanya pada Datuk Ambiga apa pendirian beliau sempena (kempen) 901, apakah pendirian beliau untuk perhimpunan haram iaitu tagline 'rakyat menjadi hakim negara'. 

''Sebagai peguam saya tanya dan minta penjelasan apa pendirian beliau, apakah hasrat, niat kempen 901 pergerakan itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Terdahulu beliau menghadiri majlis penyampaian bantuan Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) kepada 526 Orang Kurang Upaya (OKU) membabitkan bantuan keperluan barangan permulaan perniagaan berjumlah RM2.63 juta. 

Tegas Shahrizat, undang-undang negara tidak seharusnya diheret ke jalanan termasuk oleh pengamal undang-undang sendiri semata-mata untuk mempertahankan seorang individu iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau memberikan reaksi sedemikian ekoran terdapat individu tertentu yang cuba menghasut orang ramai menyertai Kempen Bebaskan Anwar 901 dengan berkumpul di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta pada hari keputusan kes liwat Anwar yang dituduh meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan. 

Sementara itu, beliau berkata, Pergerakan Wanita UMNO dan BN Wilayah Persekutuan akan membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa mengambil tindakan mengikut undang-undang bagi menentukan keselamatan negara tidak terjejas pada 9 Januari ini. 

''Kita sebagai ibu di rumah bimbang risiko yang akan timbul iaitu pertama pelanggaran undang-undang dan kedua risiko hasil perhimpunan haram itu," katanya. Justeru, pergerakan itu mahu polis mengambil tindakan sewajarnya kerana mereka tidak mahu negara ini dijadikan medan golongan yang mempunyai kepentingan tertentu untuk membawa isu-isu ke jalanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...