Rabu, 21 Disember 2011

Di Manakah Kebenaran Pihak JPA Tidak Pernah Mengajak Pihak Cuepacs Berbincang Tentang SBPA Terlebih Dahulu???


Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan berkuat kuasa 1 Januari depan. 

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya mahu CUEPACS diberi hak untuk turut sama dalam perundingan mengenai pelaksanaan skim tersebut. "Kami sangat kecewa kerana kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak langsung mengadakan rundingan dengan CUEPACS sebelum menggubal dan melaksanakan SBPA. 


"Tidak seperti sebelum ini, kami sentiasa diberi peluang untuk turut terlibat dalam rundingan sebelum sesuatu skim untuk kakitangan awam dilaksanakan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Bantahan SPBA di sini, hari ini. 

Omar menegaskan kerajaan seharusnya memastikan setiap kakitangan perkhidmatan awam yang berjumlah 1.4 juta orang menerima maklumat tepat dan mendalam sebelum menerima opsyen pelaksanaan SBPA. "Ini kerana, pegawai JPA yang membuat taklimat mengenai SPBA kepada kakitangan awam memberi maklumat berbeza-berbeza mengenai skim tersebut. 

"Oleh itu, CUEPACS akan mengutarakan beberapa perkara mengenai SPBA yang dilihat mengelirukan kakitangan awam pada pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 22 Disember ini," katanya. Jelas Omar, pada pertemuan itu nanti, CUEPACS juga akan membawa isu mengapa kesatuan itu tidak diberi peluang untuk turut sama dalam perundingan bersama-sama JPA sebelum skim itu dilaksanakan. 

"Selain itu, tempoh opsyen yang singkat dan kenaikan gred gaji yang berbeza-beza akan dibincangkan pada pertemuan tersebut," katanya. Omar sekali lagi menasihatkan penjawat awam agar menunggu keputusan pihaknya pada perbincangan yang akan diadakan bersama Najib sebelum menerima SBPA. 

Rungutan  Dari Penjawat Awam

TERKEJUT apabila Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membantah opsyen yang terkandung dalam Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). Perdana Menteri ketika membentangkan bajet juga menyatakan bahawa pelaksanaan SBPA mengandungi 'dasar pemisah.' 

Sepatutnya pada waktu itu, CUEPACS mengambil langkah proaktif untuk mengkaji apakah dasar ‘exit policy’ yang akan dilaksanakan dan mengemukakan cadangan balas, bukan mengambil tindakan membantah apabila dasar itu bakal dilaksanakan. 

Sebelum ini pemimpin CUEPACS sentiasa mengucapkan terima kasih setiap kali perjumpaan diadakan kerana kerajaan sedia berunding dalam apa saja perkara membabitkan penjawat awam. Tetapi mengapa sekarang CUEPACS menyatakan mereka tidak pernah diajak berbincang? Sebagai penjawat awam, kita seharusnya memahami kandungan pekeliling yang dikeluarkan, jika faham kita tidak akan membantah sebaliknya mengemukakan cadangan untuk penambahbaikan. 

Mengenai pergerakan gaji tahunan mengikut kadar peratus yang dimaklumkan, kita perlu melihat jadual gaji yang diberi kepada kumpulan perkhidmatan yang ditawarkan. Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana yang ditetapkan Gaji Sebaris (JGS) mengikut kadar pergerakan gaji tahunan dari RM80 hingga RM320 dan ia lebih tinggi daripada Skim Saraan Malaysia (SSM). 

Kadar peratus yang dinyatakan untuk kumpulan Premier yang gajinya ‘single point’ dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi yang mempunyai Jadual Gaji Minimum dan Maksimum saja. Kita juga perlu faham dengan kaedah ini kerana bukannya semua jadual gaji dapat melaksanakan kaedah peratusan. 

Pemimpin CUEPACS menasihatkan kepada sesiapa yang tidak berkaitan supaya jangan campur tangan dalam hal ini. Tetapi sedarkah bahawa mereka sendiri yang mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju sekiranya kerajaan melaksanakan pengambilan ‘orang luar’ untuk mengisi jawatan dalam kumpulan Premier sedangkan kumpulan Premier dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi bukan anggota CUEPACS. Sudah tiba masanya CUEPACS berbincang dalam majlis kongres apa sebenarnya yang terkandung dalam pelaksanaan SBPA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...