Rabu, 28 Disember 2011

Cuepacs Sambut Baik Tentang Lanjutan Serah Borang SBPA



Pergerakan Wanita UMNO menyambut baik pelanjutan tarikh akhir penerimaan opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) selaras dengan dasar keterbukaan kerajaan yang prihatin dengan penjawat awam di negara ini. 

Naib Ketuanya, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, lanjutan itu memberi peluang kepada mereka untuk mengadakan konsultansi secara lebih terperinci sekali gus ia dapat diterima di semua peringkat kakitangan kerajaan.


"Skim SBPA ini sangat penting kepada penjawat awam bagi menambah pendapatan mereka selain menjamin perjalanan kerjaya yang mampu mencungkil bakat, motivasi dan produktiviti kerja. "Mereka yang bertindak sebagai nadi mahupun jentera kepada pelaksanaan dasar-dasar kerajaan perlu meneliti skim ini sepenuhnya bagi menjayakan pelan transformasi negara," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini. 

Beliau diminta mengulas mengenai penyelesaian kemelut SBPA yang pada akhirnya mencapai kata sepakat apabila Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) diberi hak berunding dalam isu berbangkit serta menjadi pemerhati dalam pelaksanaan dasar pemisah atau exit policy. 

Perbincangan lebih tiga jam antara CUEPACS dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semalam membawa hasil positif apabila masing-masing bersetuju supaya tarikh akhir untuk menerima opsyen SBPA dilanjutkan ke 15 Januari 2012, manakala tarikh akhir untuk penerimaan opsyen umur persaraan 60 tahun dikekalkan pada 30 Disember ini. 

Dalam pada itu, Kamilia berpendapat, setiap jabatan dalam perkhidmatan awam wajar mengadakan bengkel perbincangan lebih-lebih lagi dalam mengatasi persepsi bahawa skim tersebut hanya menguntungkan golongan 'kaki bodek'. 

Justeru katanya, kakitangan kerajaan perlu berani memberikan input-input penambahbaikan bagi pelaksanaan skim tersebut dan tidak hanya tahu mengkritik. "Skim ini perlu dilihat secara positif selain sebagai satu insentif untuk berjaya. Penjawat awam perlu tahu kenapa mereka boleh dibersarakan awal kerana kerajaan kini mementingkan produktiviti," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...