Sikap pengguna internet yang kurang berhati-hati, tamak, mudah percaya terhadap apa yang dipaparkan di internet serta suka memaparkan segala maklumat peribadi dan rahsia diri di laman sosial antara faktor menyebabkan kes penipuan siber terus meningkat di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Datuk Husin Jazri, berkata alam siber kini membuka ruang besar kepada penjenayah kerana capaian internet yang luas dan melepasi sempadan.
Jika dulu serangan komputer membabitkan aspek teknikal seperti serangan virus, tetapi kebanyakan serangan komputer sekarang babitkan manusia yang manipulasi elemen tamak, kurang kesedaran, takut dan mudah percaya.
Husin Jazri, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Katanya, kajian pihaknya baru-baru ini mendapati daripada lima e-mel yang diterima oleh seseorang individu di negara ini, satu daripadanya berpotensi mempunyai unsur penipuan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna internet supaya bersikap kritikal terhadap apa saja yang diterima menerusi e-mel atau dipaparkan dalam siber.

