Penduduk dan peniaga Pasar Jelapang di Perak menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap keadaan bangunan pasar dan persekitarannya yang kotor menerusi memorandum diserahkan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) semalam.
Memorandum yang mengandungi kira-kira 2,000 tandatangan itu mengharapkan tindakan segera diambil MBI bagi menangani masalah itu yang didakwa dihadapi sejak sekian lama.
Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), M Sarasvathy berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk dan peniaga di pasar itu yang berharap MBI melakukan tindakan segera mengubahsuai bangunan pasar dan membersihkan kawasan persekitarannya.