Khamis, 22 Mei 2014

Setahun DS @ismailsabri60 Menerajui Kementerian Pertanian Pelbagai Perubahan Yang Dilakukan #DSIS





Sudah lebih setahun Dato Sri Ismail Sabri memegang jawatan menteri pertanian dan industri asas tani. Sudah tentu beliau mahu melakukan perubahan besar, seperti meningkatkan taraf hidup petani, penternak dan nelayan merupakan matlamat utama perjuangan, Datuk Sri Ismail Sabri sebaik sahaja dilantik sebagai menteri yang menerajui kementerian itu setahun yang lalu. Beliau mahu mengubah persepsi terhadap golongan yang dilabelkan sebagai miskin dan tertindas. 

Biarpun agak sukar, Ahli Parlimen Bera ini tetap berazam untuk mengubah pandangan masyarakat ke atas petani, penternak dan nelayan. Dalam tempoh genap setahun hari ini di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pelbagai perkara beliau telah lakukan, antaranya mengubah sektor pertanian itu sendiri supaya golongan muda melihat sektor tersebut sebagai jaminan masa depan yang menguntungkan.






"Kesan di sebalik persepsi negatif ke atas ketiga-tiga golongan itu menyebabkan orang muda kurang berminat menceburi sektor pertanian, mereka beranggapan ia tidak menjamin masa depan dan itulah realitinya, waima kalau kita baca novel dan tengok filem sekali pun soal kemiskinanlah yang digambarkan. "Semua ini berpunca daripada peranan orang tengah dan inilah pentingnya kita perlu hapuskan orang tengah yang selama ini menindas golongan petani, penternak dan nelayan, produk mereka dibeli pada harga murah tetapi orang tengah mengaut keuntungan berganda menjualnya pada harga tinggi kepada pengguna," katanya.

Justeru bagi membela nasib golongan tersebut, beliau mengumumkan untuk berjihad membanteras orang tengah serta berhasrat mengubah kesusahan hidup mereka supaya dapat menikmati kehidupan lebih sempurna sejajar dengan arus kemodenan. Bagi membela nasib golongan itu, Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjadi orang tengah membeli hasil tangkapan laut, ternakan dan tanaman pada harga lebih munasabah. Justeru lama kelamaan golongan yang menjadi nadi kepada kelangsungan hidup masyarakat desa dan bandar ini akan berubah sedikit demi sedikit, walaupun mungkin terpaksa memakan masa Ismail Sabri optimis bahawa matlamat perjuangan beliau pastinya akan membuahkan hasil satu hari nanti. 

Jihad beliau itu mungkin dilihat sebagai sesuatu yang sukar kerana tidak mudah menyingkirkan orang tengah yang telah berakar umbi sejak sekian lama, namun Ismail Sabri melihatnya sebagai satu usaha yang mesti diteruskan walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan. "Orang tengah ini selalunya dikaitkan dengan bangsa tertentu tapi saya tidak fokus kepada bukan Melayu atau bukan Islam semata-mata kerana apa-apa bangsa pun boleh jadi orang tengah, saya sebut jihad membanteras orang tengah kerana saya mahu tunjukkan bahawa kita serius dalam melaksanakannya. "Orang tengah ini boleh jadi Melayu dan Islam, sesiapa pun boleh asalkan dia mengambil kesempatan menindas golongan penternak, petani dan nelayan. Angkara orang tengahlah kesannya turut dirasai oleh pengguna kerana harga di pasaran akan menjadi mahal," katanya.







Para petani dan nelayan tidak boleh lagi membiarkan hasil titik peluh mereka diratah oleh orang tengah, mereka tidak boleh membiarkan keringat mereka diperah sesuka hati, mereka perlu bangkit menjual sendiri hasil mereka dengan cara betul untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Tegas beliau, perjuangan untuk mengubah minda petani dan nelayan amat penting dan ia bukan hanya berlegar di peringkat kementerian sebaliknya harus dipikul oleh semua pihak. Mengulas mengenai nasib para nelayan yang terpaksa berhutang dengan orang tengah ketika musim tengkujuh sehingga menyebabkan kudrat mereka diperah untuk melangsaikan hutang, beliau berkata, kerajaan telah menanganinya. 

"Kini, hutang para nelayan sebanyak RM40 juta diambil alih oleh Tekun Nasional, Nekmat pula menyediakan tabung pinjaman tanpa faedah untuk kecemasan sebanyak RM50,000 kepada 87 persatuan nelayan kawasan serta mewujudkan 50 pasar nelayan baharu di seluruh negara bagi membolehkan hasil tangkapan dipasarkan terus. "Nekmat juga membeli ikan dengan harga setanding ditawarkan orang tengah, FAMA pula menyediakan lebih banyak ruang di pasar tani bagi nelayan dan keluarga menjual hasil produk mereka kepada pengguna," katanya. 




Matlamat meningkatkan taraf hidup tidak mungkin akan berjaya tanpa sokongan para petani, penternak dan nelayan sendiri, justeru kempen berterusan akan terus dilakukan bagi memastikan minda mereka dapat diubah. "Saya sedar masih ramai petani kita yang selesa dengan cara lama atau cara tradisi, mereka sedar dari segi pengeluaran hasilnya rendah berbanding mengamalkan cara moden, jadi saya masih perlu bekerja keras untuk mengubah minda mereka. "Para pemimpin persatuan nelayan dan petani juga perlu diberikan kursus untuk mengubah minda mereka, bagaimana petani hendak berubah kalau pemimpin persatuan sendiri kurang kesedaran, pegawai-pegawai di kementerian dan agensi-agensi di bawahnya juga perlu berubah supaya perubahan besar-besaran boleh dilakukan," katanya. 

Beliau amat berharap agar kaedah lama dalam sektor pertanian dapat dimodenkan secara menyeluruh kerana negara memiliki tanah yang subur, kerajaan menyediakan bimbingan dan tunjuk ajar serta bantuan kewangan untuk melahirkan usahawan-usahawan tani muda yang berjaya. Pesawah juga merupakan golongan sasar yang perlu diubah mindanya, tanaman cara lama tidak sesuai lagi diamalkan pada masa kini, sikap suka menggunakan khidmat orang tengah perlu dibuang, anjakan perlu dibuat jika mahu menambah pendapatan.  

Bagi membantu pesawah, PPK akan diberi peranan dan kuasa membeli padi daripada petani manakala pengusaha kilang akan mendapatkan kuota keperluan kilang melalui PPK manakala NAFAS akan menyediakan Dana Bantuan Kebajikan sebanyak RM100,000 bagi setiap PPK yang melaksanakan skim belian padi bagi mengelakkan petani dan ahli meminjam dari broker. 

Sejak setahun lalu, 17 dasar dilaksanakan oleh Ismail Sabri, antaranya mengharamkan penggunaan pukat tunda saiz anak mata 38mm, membatalkan lesen pengusaha laut dalam yang memajak bot kepada pengusaha Vietnam atau menggunakan sepenuhnya nelayan asing untuk beroperasi, meliberalisasikan permit import (AP), mewujudkan Unit Agroproneur Muda dan Majlis Perundingan Agroproneur Muda (dipengerusikan oleh beliau sendiri), Program Transformasi Pertanian dan meningkatkan pengetahuan Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan serta Nekmat. 

"Harapan saya ialah ada perubahan minda di kalangan semua pihak agar transformasi pertanian dapat dilakukan secara mutlak, cara bekerja juga perlu berubah barulah ada perubahan. Jika tidak usaha ini tidak akan berjaya," katanya. Dibawah Mc sertakan poster kempen dan program yang dilancarkan oleh MOA selepas setahun Datuk Sri Ismail Sabri menjadi menteri di MOA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...