Jumaat, 1 Mac 2013

Ramai Penjawat Awam Menjadi Penghasut Politik Menyokong Pembangkang @alihamsa55 @najibrazak


WAKTU ini barangkali, ada yang sudah bermasam-masam muka dan ramai yang jenuh bertegang urat leher dengan kawan-kawan sekerja kerana bercakap pasal isu-isu politik yang tak habis-habis. Kata seorang teman, cepatlah diumumkan tarikh pilihan raya dan cepatlah habis semua ini. Ini kerana sudah bosan dengan bermacam-macam pertikaian dan perkara-perkara yang entah apa-apa dibangkitkan yang boleh saja dijadikan isu politik ketika ini, yang bertujuan mengangkat mana-mana parti politik. 

Tapi percayalah, sembang-sembang dan perang politik terutamanya di laman-laman sosial ini tidak tentu berakhir selepas pilihan raya ini. Isu-isu politik memang menjadi topik kegemaran sepanjang zaman. Sudah menjadi satu kebiasaan rakyat di negara ini memang gemar bercakap pasal politik dan amat minat dengan politik menghentam tanpa minat mengambil tahu mengenai fakta-fakta sebenar. Selepas keputusan pilihan raya nanti, ada pula cakap-cakap kenapa parti yang disokong boleh kalah. 

Maka timbul isu tidak telus, hal-hal sabotaj dan sebagainya. Memang tidak akan habis. Yang peliknya, penjawat-penjawat awam pun sama naik juga. Ada dalam kalangan mereka sepanjang waktu lapan jam bekerja di pejabat, menghentam majikan mereka itu dan ini. Mereka ini tidak segan-segan mengaku diri mereka penyokong tegar parti pembangkang. Maka semua dasar dan apa saja yang dilakukan kerajaan untuk rakyat dipertikaikan, tapi bab-bab gaji, elaun, bonus serta kemudahan-kemudahan lain yang kerajaan beri kepada mereka, tidak pula dipersoalkan. 



Dan apabila parti pembangkang yang mereka puja-puja itu mencadangkan bilangan penjawat awam ini dikurangkan kononnya sudah terlalu ramai dan tidak menyumbang apa-apa kepada pembangunan ekonomi negara, hanya pembaziran semata-mata, mereka tidak pula bangkit lantang menghentam. Semuanya pakat diam membisu. Jadi, apabila baru-baru ini, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman menyarankan supaya lebih baik untuk penjawat awam menumpukan perhatian terhadap tugas mereka, itu sewajarnya dilihat sebagai satu saranan yang tidak memihak kepada mana-mana parti. 

"Kita sudah tandatangan akujanji, jadi lebih baik tumpu agenda penjawat awam, kalau nak berpolitik juga, minta kebenaran, jangan berpolitik pada waktu kerja," tegas beliau. Jabatan Perkhidmatan Awam juga sudah lama mengeluarkan pekeliling mengenai syarat-syarat sekiranya mahu berpolitik. Antaranya, tidak menganggu tugas-tugas rasmi dan dilakukan di luar pejabat. Memang ada ramai penjawat awam yang terlibat dalam politik, tetapi mereka ini bukan terlibat secara langsung. Sekadar cakap berapi-api yang boleh diumpamakan sebagai ejen propaganda parti politik tertentu yang berperanan menghasut. Memang betullah, masa bekerja tidak sepatutnya dihabiskan dengan bercerita pasal politik. Masa bekerja juga tidak sepatutnya ditumpukan kepada memberi komen-komen di laman-laman sosial facebook, twitter atau youtube untuk menghentam mana-mana parti. 

Lebih-lebih lagi yang membayar gaji ketika bekerja itu adalah kerajaan juga. Tidak cukupkah bersembang pasal politik di luar pejabat, ketika 'mengeteh' di kedai-kedai kopi, hingga perlu di bawa ke tempat kerja. Akibatnya dek terlalu suka bercakap pasal politik ini, wujud suasana tidak harmoni di tempat kerja. Bukan sahaja sektor awam, sektor swasta pun begitu. Apabila terlebih fokus kepada perkara lain, mengumpat sana sini pasal parti politik atau pasal siapa-siapa dan apa-apa saja, ia sekali gus menjejaskan kualiti dan produktiviti kerja kerana kelekaan itu. Nanti timbullah kerja yang tidak disiapkan tepat pada waktunya, menjawab telefon dengan marah-marah, tergesa-gesa atau paling teruk tidak berjawab-jawab kerana tumpuan lebih kepada hal yang tiada kaitan dengan kerja. 

Itu belum masuk, membuat 'muka ketat' dan payah sangat untuk tersenyum ketika melayani orang awam yang beratur panjang untuk mendapatkan perkhidmatan. Bagi saya, buat sajalah kerja hakiki kita itu. Kita diberi gaji untuk membuat kerja. Apabila tiba waktu untuk memangkah memilih kerajaan nanti, kita pilih mana yang layak, mana yang banyak memberi manfaat kepada kita, anak-anak kita dan juga negara bertuah ini. Tidak perlu gaduh-gaduh, tidak perlu bising-bising dan tidak perlu bermasam-masam muka. Habis cerita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...