Isnin, 16 April 2012

Pemuda Pun Akan Menghantar Senarai Nama Calon Pada Hujung Bulan Ini


Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan mengemukakan senarai nama calon-calon yang difikirkan layak untuk dipilih bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) pada Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak pada penghujung bulan ini.

Penilaian dan senarai akhir calon yang berlandaskan beberapa faktor akan dilakukan oleh Ketua bersama Naib Ketua dan Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tidak lama lagi, demikian kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin. Khairy memberitahu wartawan pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Meja Bulat Mahasiswa Nasional di Kuala Lumpur, petang Rabu. 

Beliau juga tidak mengumumkan berapa ramai calon pemuda yang akan dikemukakan dan kedudukan beliau sendiri pun akan diserah pada kebijaksanaan Presiden parti. Bagaimanapun Khairy menghuraikan empat faktor penting sebagai 'key performance index' (KPI) dalam usaha senarai pendek bakal calon pemuda. Menurutnya, faktor yang menjadi perhatian adalah menilai gerak kerja dan tugas sebagai pemimpin pemuda dalam beberapa tahun kebelakangan ini. 


Faktor kedua, kata Khairy, “penerimaan masyarakat umum, kita tidak mahu popular dalam parti tapi tidak popular dikalangan masyarakat umum, kedua-dua ini penting. Kalau popular dalam masyarakat tapi tak popular dalam parti pun akan timbul masalah, kena ada kombinasi.” Ketiga, katanya, “mesti rajin selesaikan masalah rakyat, ada pemimpin yang rajin tapi rajin sibuk-sibuk nak tunjuk buat kerja tapi dia tak buat apa.” “Kerajinannya ada hasil bukan yang tidak ada hasil, dia boleh rajin hadirkan diri bila PM datang tapi dia tidak rajin selesaikan masalah rakyat,” tambahnya. 

Seterusnya perkara keempat, kata Khairy, “saya tidak katakan tidak ada ijazah tak boleh jadi calon tapi kena mempunyai ilmu pengetahuan mengenai dasar-dasar kerajaan, tahu cara nak selesaikan masalah rakyat, kalau nak selesai masalah dengan Majlis Daerah pun tak tahu itu maknanya tak ada ilmu pengetahuan. Ianya tak perlu ada ijazah untuk tahu macamana nak selesaikan masalah longkang tersumbat, masalah jalan kampung berlubang, masalah pembentungan dan tak tahu mana agensi nak rujuk, itu masalah.” 

“Kita kena cari mereka yang dah serasi dengan agensi kerajaan, tahu sedikit sebanyak nak jalankan tugas sebagai pentadbir atau wakil rakyat. Itu semua kita ambilkira, akhirnya kita akan buat penilaian asas kelayakan seperti tidak muflis, tidak berhutang dan lain-lain,” jelas beliau. Menurut Khairy, sebelum membuat penyenaraian akhir, pihaknya akan membuat semakan dan tapisan dengan merujuk pada sumber-sumber lain dan senarai itu adalah satu sahaja selain dari senarai-senarai dari pengerusi badan perhubungan UMNO negeri.

Ditanya mengenai persiapan jentera pemuda, Khairy memberitahu jentera pemuda di peringkat cawangan dan pusat pengundi telah lama digerakkan, sementara jentera peringkat pusat dan negeri akan dilancarkan pada hujung minggu ini bersama Pergerakan Puteri UMNO di Ipoh. Mengenai rumusan Persidangan Meja Bulat Mahasiswa Nasional yang dianjurkan oleh Biro IPT Pemuda UMNO Malaysia, Khairy berjanji untuk membawa perkara yang diputuskan dalam persidangan itu kepada Perdana Menteri. Beliau menekankan perkara penting ialah mempertahankan kewujudan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan beberapa penambahbaikan fungsinya. 

Khairy bersetuju dengan keputusan sebulat suara persidangan yangmencadangkan supaya bayaran perkhidmatan 1% yang dikenakan pada pemimjam PTPTN dimansuhkan. Selain itu, Khairy berpendapat perkara penting yang wajar diberi perhatian ialah tuntutan supaya bayaran pinjaman mula dibuat apabila peminjam telah berkhidmat melebihi enam bulan atau telah mempunyai pendapatan RM3,000 ke atas, bagii menjamin tempoh kelegaan peminjam. 

Dalam resolusi itu juga, kata Khairy, keputusan agar pelajar Sabah dan Sarawak untuk belajar di Semenanjung Malaysia ditambah dan ia meliputi harga tiket penerbangan dua kali setahun. Pada akhir sidang media itu Khairy memberitahu beliau akan mengemukakan satu pindaan tambahan kepada pindan Akta Universiti (AUKU) di sidang Dewan Rakyat minggu depan. Katanya, “sesyen 15 (2c), ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) tidak setuju dengan pindaan yang mana pindaan tersebut menyatakan kalau sekiranya pelajar itu pegang jawatan dalam parti politik tidak boleh pegang jawatan dalam pertubuhan atau persatuan pelajar. Kita akan minta sesyen itu dibatalkan terus.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...