Pembangkang akan terus membangkitkan isu sensitif kerana mereka sudah ketandusan modal untuk menangkis segala fakta yang dibangkitkan pemimpin UMNO, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Justeru, katanya, pemimpin UMNO di peringkat cawangan dan bahagian harus bersiap siaga dengan tindakan pihak pembangkang itu yang menjerat rakyat agar tidak menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13.
"Untuk menangkis tohmahan pembangkang, UMNO harus mencari fakta dan bahan-bahan untuk menjawab segala tuduhan tidak berasas dari pembangkang yang sengaja mencari isu-isu baru.
"Jika UMNO tidak menangkis segala tohmahan pembangkang, ia dikhuatiri akan dapat mempengaruhi pemikiran rakyat dari peringkat akar umbi yang (pada mulanya) mempunyai kepercayaan terhadap kerajaan Barisan Nasional," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat berkelompok Persidangan UMNO Cawangan Bahagian Bagan Datoh di Bagan Datoh, Ahad.
Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, pembangkang sebahagian besarnya gagal mengotakan manifesto yang dijanjikannya pada pilihan raya umum lalu.
"Pada pilihan raya umum lalu pembangkang gagal laksana manifesto mereka. Iaitu berbeza dengan Barisan Nasional yang dapat melaksanakan manifestonya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan