Isnin, 26 Mac 2012

Perletakan Jawatan Ahli UMNO Abd Kadir Tidak Melemahkan Akar Umbi @TengkuAdnanReal


Umno telah menerima surat peletakan jawatan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir daripada parti itu, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Ahad. Beliau berkata, pihaknya menerima surat itu melalui e-mel dan faksimili pada hari yang sama Kadir membuat kenyataan untuk menarik diri daripada Umno. 

"Kami telah menerima surat itu dan pihak pengurusan pun dah terima (peletakan jawatannya)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Mesyuarat Agung Tahunan 2012 Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinnbam) di sini, Ahad. Bagaimanapun, Tengku Adnan enggan mengulas lanjut mengenai surat itu. Abdul Kadir mengumumkan peletakan jawatannya sebagai anggota Umno pada 19Mac lalu. 


Sebelum itu beliau melepaskan jawatannya sebagai bendahari Umno Bahagian Kulim-Bandar baharu Kedah, iaitu jawatan terakhirnya dalam parti. Abdul Kadir yang juga bekas Anggota Parlimen Kulim Bandar Baharu menjadi anggota Umno selama 56 tahun sejak menyertainya pada 1956 dan sepanjang tempohitu, beliau pernah menjawat beberapa jawatan seperti Exco Pemuda, Ketua PemudaUmno negeri Kedah, Anggota Majlis Tertinggi Umno dan pelbagai jawatan lain. 

Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan menyarankan masyarakat India untuk terus bersatu padu di bawah satu bumbung dan terus menyokong usaha kerajaan dalam menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan masyarakat itu. Beliau berkata, sebagaimana kaum lain, kaum India juga tidak lari daripada menghadapi pelbagai masalah sosial terutamanya di kalangan golongan muda, justeru perpaduan adalah sangat penting bagi menangani masalah.

"Justeru saya harap Perinnbam akan dapat bekerja seiring dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain dalam menangani pelbagai masalah yang dihadapi oleh kaum India". Ditanya mengenai agihan kerusi di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya umum ke-13, beliau berkata, perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu di kalangan pemimpin parti komponen.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...