Khamis, 16 Februari 2012

Orang Melayu Patut Sedar Tidak Mengundi Merugikan Masa Depan Sendiri


Rata-rata orang ramai menyifatkan sikap sejumlah 3.7 juta rakyat terutama orang Melayu yang masih enggan mendaftar sebagai pengundi sebagai suatu yang merugikan masa depan negara. Seorang peniaga dari Subang USJ, Saiful Ahmad, 25, berkata, sikap tidak ambil berat itu merugikan diri sendiri sedangkan hak untuk memilih pemimpin termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

''Jika kita mensia-siakan peluang untuk memilih kepimpinan negara mengikut kehendak kita, ini bermakna kita tidak berminat untuk mencorak masa depan dengan menggunakan kuasa satu undi yang diberi oleh Perlembagaan Persekutuan. ''Orang Melayu patut sedar kerana kaum lain berlumba-lumba mendaftar sebagai pengundi untuk menentukan masa depan negara mengikut kemahuan mereka sebaliknya kita terus lalai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 


Beliau mengulas laporan akhbar hari ini yang memetik ingatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof kepada lebih 3.73 juta rakyat negara ini berumur 21 tahun dan ke atas yang belum mendaftar sebagai pemilih agar tidak menyesal jika mereka tidak berpeluang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti. Seorang lagi peniaga, Ahmad Idris, 31, mahu kerajaan mewajibkan pendaftaran sebagai pengundi kerana orang muda hari ini perlu didisiplinkan melalui cara itu. 

''Jika tidak diwajibkan mendaftar sebagai pengundi, maka jadilah kita rakyat yang tidak ada komitmen dengan hala tuju negara dan hanya sibuk mengkritik di kedai kopi setelah calon pilihan mereka tidak menang," katanya. Sementara itu, seorang penjawat awam dari Petaling Jaya, Mohd. Aidi Nur Azhar, 27, berkata, kerajaan perlu menggubal undang-undang untuk mewajibkan pendaftaran sebagai pengundi secara mandatori.

''Contohnya, kita amat terkejut negeri yang kecil seperti Perlis mencatatkan sebanyak 16.6 peratus atau 25,856 penduduk yang layak menjadi pemilih tetapi masih belum mendaftar. Jadi SPR perlu mengadakan kempen secara agresif di negeri tersebut," katanya. Seorang pesara, Rahmat Musip,56, berkata, SPR perlu melakukan kempen besar-besaran untuk menggalakkan golongan muda mendaftar sebagai pemilih.

''Generasi Y hari ini hidup dalam kemewahan dan tidak sedar ia adalah hasil usaha kerajaan yang dipilih melalui PRU12 yang lalu. ''Jadi, kita cadangkan agar SPR memilih lokasi yang menjadi tumpuan golongan muda seperti stesen bas dan LRT serta panggung wayang untuk mengadakan kempen daftar mengundi dan bukannya hanya mengharapkan liputan media semata-mata," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...