‘You (anda) sabarlah sikit... You ikut saja... You main mata dengan DAP dan PKR
Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali mendakwa parti itu kini dikuasai 72 peratus pemimpin berfahaman sekular yang ‘tidur sekatil’ dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bagi memenuhi matlamat mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Hasan yang juga bekas EXCO kerajaan Selangor berkata, pemimpin ‘parasit politik’ itu juga sanggup menggadaikan Islam dan mengetepikan al-Quran, hadis dan itjmak ulama untuk bersengkongkol dengan kedua-dua parti pembangkang itu.
“Saya berpendidikan sekular tetapi menyertai PAS kerana tertawan dengan cogan kata parti itu dan kepemimpinannya golongan ulama yang berpendidikan dari Mesir dan Jordan tetapi kini kasihan golongan ulama PAS yang hanya tinggal sedikit saja.
“Malah pemimpin ‘parasit politik’ ini dengan berani meminta saya bersabar dan saya ingat lagi apa yang dikatakannya ‘You (anda) sabarlah sikit... You ikut saja... You main mata dengan DAP dan PKR ini... waktu kita dapat takluk Putrajaya, baru kita martabatkan Islam.
“Ini jawapan saya kepada pemimpin parasit ini ‘pergilah’. Bayangkan jika daripada awal sudah lemah dan tunduk kepada desakan dan bantahan DAP dan PKR, bagaimana golongan ulama mahu menegakkan syiar Islam, macam mana ingin martabatkan Islam jika tidak kuat,” katanya ketika berucap pada Ceramah Cabaran Umat Kini, di Dataran Bukit Naning, dekat sini.
Ceramah anjuran Pertubuhan Kemajuan dan Integriti Melayu Muar (PEKIM) itu dihadiri lebih 5,000 masyarakat setempat.
Sementara itu, pada sidang media di rumahnya di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur, Hasan berkata, beliau tidak akan membuat sebarang rayuan berhubung pemecatannya sebagai ahli PAS pada 8 Januari lalu yang tamat pada Selasa ini.
Katanya, pemecatan serta gesaan supaya namanya digugurkan daripada barisan EXCO Selangor dilakukan secara autokratik dan tidak demokratik, hanya berdasarkan keterangan sebelah pihak serta menggambarkan ada komplot untuk menjatuhkannya.
“Asas terhadap keputusan muktamad ini adalah peranan parasit yang mempengaruhi pimpinan tertinggi, tidak menerima sebarang surat bagi membela diri, hala tuju dan dasar perjuangan parti terkeluar dari landasannya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan