Jumaat, 25 November 2011

KDN Tubuh Kumpulan Kerja Pemantauan Pelajar Asing


PUTRAJAYA 25 Nov. - Sub Unit Khas Pelajar yang ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri bulan lepas, mewujudkan Kumpulan Kerja Pemantauan Pelajar Antarabangsa bagi menangani isu pelajar asing di negara ini. Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Mahmood Adam berkata, kumpulan kerja itu akan bersidang setiap bulan bagi membincangkan isu pelajar antarabangsa di institusi pengajian tinggi tempatan.


Perbincangan juga akan berkisar kepada langkah penambahbaikan dan penyelesaian isu berbangkit serta menggariskan tindakan bagi mengawal dan membendung penyalahgunaan pas oleh pelajar antarabangsa, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. Sub unit itu antara empat yang diwujudkan kementerian tersebut bagi menangani isu warga asing di negara ini. Tiga lagi menangani isu mengenai warga serta pekerja asing di Sabah dan Sarawak, isu pelarian dan isu tuduhan politik yang tidak berasas. 

Mahmood berkata, Sub Unit Khas Pelajar itu yang telah bermesyuarat dua kali sejak ditubuhkan, juga akan mengumpul laporan berkaitan pelajar antarabangsa seperti jumlah pelajar yang diluluskan, jumlah institusi yang terlibat, jenis kursus dan jangka masa serta bilangan pelajar yang terbabit gejala negatif. Sub unit itu juga akan mengendalikan lawatan naziran secara bersepadu dan berkala melibatkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran, Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan setiap institusi mematuhi peraturan berkaitan.

Selain itu, Mahmood berkata, Prosedur Operasi Standard antara semua agensi terbabit akan diselaraskan bagi memastikan tiada pertindihan bidang tugas selain memastikan kerjasama yang lebih berkesan. Agensi lain yang turut terlibat dalam unit itu ialah Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. - Petikan dari Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...