Halaman

Rabu, 15 Februari 2012

Program BR1M Bertujuan Mengurangkan Beban Rakyat Berpendapatan Rendah


Kerajaan tidak meminjam daripada mana-mana pihak termasuk Bank Dunia atau menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membiayai Program Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). 

Kementerian Kewangan dalam kenyataan pada Selasa menjelaskan bahawa kerajaan melaksanakan program BR1M menggunakan peruntukan perbelanjaan mengurus yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2012. "Oleh itu, adalah jelas kerajaan tidak meminjam daripada mana-mana pihak. Kerajaan juga tidak menggunakan wang KWSP atau mana-mana entiti tempatan untuk membiayai program ini," katanya. 


Program BR1M yang bertujuan mengurangkan beban rakyat berpendapatan rendah dan mudah terjejas akibat kenaikan kos sara hidup mendapat sambutan mengalakkan daripada kalangan rakyat Malaysia yang berpendapatan kurang dari RM3,000. 

Sehingga 12 Februari, sebanyak RM602,579,500 baucar BR1M telah ditunaikan. Dalam tempoh yang sama, sebanyak 4,597,434 orang telah membuat permohonan BR1M dan 3,580,916 permohonan telah diluluskan. 

Bagi pemohon yang gagal, rayuan semula BR1M boleh dibuat sehingga 15 Mac dan format khas rayuan BR1M boleh didapati di pejabat cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta boleh dimuat turun daripada laman web Kementerian Kewangan www.treasury.gov.my. Kementerian Kewangan berkata sebanyak 54,531 permohonan borang rayuan telah diterima dengan 31,368 permohonan rayuan masih diproses dan 21,827 permohonan telah diluluskan.  

Kenyataan itu berkata antara sebab permohonan BR1M tidak berjaya ialah maklumat di borang permohonan tidak lengkap atau salah, pendapatan isi rumah melebihi RM3,000 dan permohonan lebih daripada sekali oleh individu dalam isi rumah yang sama.

"Kerajaan amat berpuas hati dengan kejayaan program BR1M yang sedang dilaksanakan dengan giatnya. Bagi mereka yang tidak berjaya dan belum mengemukakan rayuan, mereka dipohon berbuat demikian dengan segera," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan