Kegiatan perjudian berkomputer di negeri ini terus digempur pihak berkuasa apabila seramai 22 kaki judi termasuk tiga wanita ditahan ketika leka berjudi di dua buah premis berasingan di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, operasi yang dilakukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri itu turut disertai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Katanya, ketika serbuan semua kaki judi tersebut yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 42 tahun tidak menyedari kehadiran penguat kuasa kerana leka berjudi.
"Kita juga menahan tiga lelaki berusia 20-an yang merupakan penjaga premis itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hamdan berkata, dalam serbuan pertama pukul 5.30 petang, pihaknya menyerbu sebuah premis di Jalan Tuanku Munawir dan merampas 29 set komputer yang dipercayai digunakan untuk aktiviti haram tersebut.
"Kita juga menahan enam pengunjung dan seorang penjaga premis serta merampas wang pertaruhan berjumlah RM510," ujarnya.
Katanya, dalam serbuan kedua pula, pihaknya menyerbu sebuah pusat judi haram di Taman Sri Mawar di Senawang dekat sini dan menahan 16 pemain serta merampas 34 set komputer.
Hamdan memberitahu, dalam serbuan pukul 8.30 malam itu pihaknya turut menahan seorang lelaki yang merupakan penjaga premis tersebut dan merampas wang pertaruhan berjumlah RM310.
"Semua mereka yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan mereka diambil," jelasnya.
Kata Hamdan lagi, kes itu disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap mesin yang dirampas atau penjara lima tahun jika sabit kesalahan.
Tambahnya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6 Enakmen Pusat Hiburan yang membawa hukuman denda minimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun sekiranya sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan