Halaman

Sabtu, 7 Februari 2015

Ucapan Penuh @TengkuAdnanReal Sempena Kenduri Rakyat Bertemakan "Wilayahku Ceria"



TEXT UCAPAN PENUH YB DATUK SERI UTAMA TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN 

SEMPENA KENDURI 1WILAYAH PERSEKUTUAN BULAN FEBRUARI 2015 WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA DAN LABUAN

Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, 

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia, Marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana dengan izin dan limpah kurnia Nya kita dapat bersama-sama pada hari ni dalam Program Kenduri 1Wilayah sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan bagi tahun 2015. 


Kita amat beruntung kerana Negara sentiasa dalam keadaan aman. Kita boleh mengadakan majlis sebegini dengan selesa, beribadah dan beriadah dengan tenang tanpa sebarang ketakutan. Kuncinya adalah perpaduan dan kerjasama. Sehubungan itu, soal perpaduan ini perlu sentiasa dijaga dengan baik; dan kita patut bersyukur kerana kerajaan yang mentadbir negara ini mampu mengekalkan keamanan dan mengutamakan kepentingan rakyat serta kesejahteraan negara. 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian, Perayaan Hari Wilayah Persekutuan disambut pada tarikh 1 Februari setiap tahun, bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan dan sambutan ini merupakan gabungan ketiga‐tiga wilayah berkenaan sejak wujudnya Kementerian Wilayah Persekutuan pada 27 Mac 2004. 

Sambutan pada tahun ini merupakan sambutan yang ke-11 bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan. Tema sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini adalah “WilayahKu Ceria”. Pemilihan tema ini adalah seiring dengan aspirasi Kementerian Wilayah Persekutuan yang ingin menjadikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai sebuah bandar yang ceria dalam aspek persekitaran yang bersih serta indah; kemudahan perumahan yang kondusif; sistem pengangkutan yang sistematik dan seterusnya meningkatkan produktiviti masyarakat Wilayah Persekutuan ke tahap maksimum. 

Pemilihan tema “WilayahKu Ceria” turut merangkumi elemen sense of belonging yang perlu dibudayakan di kalangan warga Wilayah Persekutuan khususnya dalam aspek keharmonian, perpaduan dan kerjasama bagi menyokong serta merealisasikan Wilayah Persekutuan berkembang maju. Harapan saya dengan slogan ini, ia mampu merangsang seluruh warga Wilayah agar seiringan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi memajukan serta memakmurkan bumi Wilayah Persekutuan yang tercinta ini sebagai sebuah bandar raya metropolis yang lestari untuk dihuni sepanjang masa. Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian, Pelaksanaan program-program Sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun 2015 adalah berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini dalam menyahut seruan YAB Perdana Menteri yang telah mengumumkan inisiatif penjimatan perbelanjaan negara baru-baru ini. 

Pihak KWP dan Agensi hanya menganjurkan program SHWP 2015 yang memberikan impak yang tinggi dan program yang melibatkan rakyat secara terus seperti program tanggungjawab sosial masyarakat (CSR), Kenduri 1 Wilayah Persekutuan, Majlis Tahlil dan Doa Selamat, Konvoi Berbasikal 1Wilayah Persekutuan dan sebagainya. Adalah diharapkan melalui penganjuran program SHWP 2015 kali ini akan memberi impak yang besar dalam penglibatan rakyat secara umum serta memberi peluang kepada warga Wilayah Persekutuan untuk menyertai setiap aktiviti dan program yang dianjurkan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan. 

Melalui aktiviti-aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan bersempena SHWP 2015 ini diharap dapat merangsang seluruh warga Wilayah Persekutuan agar dapat seiringan dengan Kerajaan dan bersama-sama memajukan dan memakmurkan Wilayah Persekutuan yang tercinta. Walaupun peruntukan kewangan dikurangkan pada tahun 2015 ini, semua program yang diaturkan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan akan tetap meriah tetapi dalam skala yang sederhana. Adalah diharapkan juga untuk semua warga Wilayah Persekutuan memberikan komitmen dan penyertaan sepenuhnya atas simbolik 1Malaysia dan 1Wilayah bagi Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2015 ini. 

Ini juga akan dapat menggalakkan serta membangkitkan semangat perpaduan yang teguh di kalangan rakyat khususnya di kalangan warga Wilayah Persekutuan yang seterusnya akan dapat mewujudkan semangat "Kekitaan", "Kebersamaan", dan perasaan sayang kepada Wilayah Persekutuan yang kita cintai ini. Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian, Untuk makluman semua, Kenduri 1Wilayah Persekutuan telah dimasukkan di dalam kalendar acara tahunan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2015 bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim antara warga Wilayah Persekutuan selain dapat bekerjasama dalam melaksanakan aktiviti kemasyarakatan seperti aktiviti gotong royong. 

Malah program seperti hari ini juga merupakan sebahagian daripada aktiviti yang bermanfaat yang boleh mengukuhkan hubungan akrab sesama kita, apatah lagi bagi penduduk di kawasan ini. Bagi tahun ini, Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi-agensi di bawahnya hanya mengadakan Tiga (3) Kenduri 1Wilayah Persekutuan di ketiga-tiga wilayah iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan. Pendekatan seumpama ini diharapkan akan dapat mendekatkan kerajaan dengan rakyat dan membolehkan kementerian ini melalui agensi-agensi di bawahnya mendekati rakyat dan mendengar sendiri sebarang permasalahan dan menangani isu-isu berkenaan Wilayah Persekutuan. 

Selain itu, penganjuran Kenduri 1Wilayah Persekutuan 2015 ini akan memberikan peluang kepada semua warga Wilayah Persekutuan untuk merasai kemeriahan suasana kenduri sambil menjamu selera dengan menu dimasak sendiri secara bergotong royong di kalangan ahli jawatankuasa perumahan yang terlibat. Aktiviti kenduri yang diadakan ini akan dapat memeriahkan dan menceriakan lagi kota Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta warganya berpeluang menyertai aktiviti seumpama ini di hujung minggu. Melalui aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan diharap dapat merangsang seluruh warga Wilayah Persekutuan agar dapat seiringan dengan Kerajaan dan bersama-sama memajukan dan memakmurkan Wilayah Persekutuan serta mempunyai rasa sayang dan cinta terhadap Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. 

Akhir kata, saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jawatankuasa Penganjur Kenduri 1Wilayah Persekutuan dan semua pemimpin masyarakat setempat yang telah bertungkus lumus dan memberikan kerjasama yang amat baik sekali dalam penganjuran program pada hari ini. Semoga segala usaha murni kita ini akan diberkati oleh Allah swt. Harapan saya agar tema “WilayahKu Ceria” pada tahun ini dapat menyuntik semangat sayang dan rasa cinta kepada Wilayah Persekutuan dalam usaha memastikan keharmonian serta perpaduan warga Wilayah terus dikekalkan bagi kebaikan dan kesejahteraan bersama. 

Dengan ini, saya mengakhiri ucapan saya dengan Wabillahi Taufik Wal hidayah. Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan