Halaman

Khamis, 1 Mei 2014

PM @NajibRazak Kerajaan Akan Mengkaji Akta Undang Undang Buruh Melindungi Hak Pekerja

Kerajaan komited untuk memodenkan undang-undang buruh negara sejajar sasaran untuk mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang mengkaji semula Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dalam usaha untuk membolehkan resolusi lebih cekap untuk pemecatan yang tidak adil dan pertikaian perdagangan.

Katanya, usaha itu juga memastikan penguatkuasaan yang berkesan di Mahkamah Perusahaan serta mengimbangi keperluan perniagaan dan hak pekerja melalui runding damai.

Beliau berkata, Akta Pekerjaan 1955 juga dinilai semula bagi memastikan undang-undang itu selaras dengan keperluan baharu dituntut majikan tempatan serta luar negara dan keperluan tenaga kerja sebuah negara perindustrian.

“Apa-apa pindaan kepada undang-undang bertujuan merangsang produktiviti dan kecekapan, meningkatkan tahap pendapatan dan melindungi pekerja bagi menyokong daya saing tempatan, serantau dan global.
Kerjasama semua pekerja “Sebagai peralihan Malaysia daripada ekonomi berpendapatan sederhana kepada tinggi, marilah kita ingat bahawa Malaysia memerlukan kerjasama semua pekerja meliputi pelbagai sektor dalam ekonomi tenaga kerja yang menjadi tulang belakang (ekonomi),” katanya dalam perutusan Hari Pekerja 2014 menerusi laman Facebook beliau, malam tadi.
 
Hari Pekerja disambut di seluruh dunia setiap 1 Mei dan dari segi sejarah, sambutan itu untuk memperingati pencapaian ekonomi dan sosial pekerja.


Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kadar pengangguran di Malaysia bertambah baik kepada paras terendah sebanyak 3.2 peratus iaitu antara paling rendah di dunia serta pekerja mencapai gaji adil, waktu kerja baik serta keadaan kerja dan persaraan selamat.

Katanya, kerajaan mengambil perhatian terhadap keperluan yang semakin meningkat khususnya tenaga kerja muda ke arah meningkatkan taraf hidup apabila memperkenalkan skim gaji minimum dan menaikkan umur persaraan minimum 60 tahun. 

Beliau berkata, negara kita menikmati pertumbuhan ekonomi yang berkembang maju dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh sebanyak 4.7 peratus dinikmati tahun lalu menjadikan Malaysia kekal pada landasan yang betul untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.


Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sokongan dan sumbangan semua pihak terutama golongan pekerja kepada dasar kerajaan adalah tulang belakang kepada kemajuan negara selama ini.

“Sempena Hari Pekerja tahun ini, saya berharap agar hubungan antara kerajaan dan warga pekerja serta Kesatuan Pekerja akan menjadi bertambah baik,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan