IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melancarkan program pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 ke seluruh negara pada 2 Februari ini.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, setakat ini, sebanyak enam juta permohonan bantuan itu melibatkan isi rumah dan golongan bujang telah diproses oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau berkata, bantuan yang akan memanfaatkan keseluruhan 7.3 juta pemohon itu dijangka terus memberi impak kepada sektor ekonomi negara melalui peningkatan penggunaan dalam kalangan pengguna sekali gus membantu perkembangan perusahaan setempat.
"Pembayaran BR1M 2.0 ke seluruh negara akan bermula Februari ini dan menjadi tanggungjawab Pegawai Daerah serta Pegawai Pembangunan Zon untuk mengaturkan tempatnya.
“Seperti tahun lalu, pembayarannya melibatkan pemberian baucar di setiap majlis dan kita juga ada bank bergerak. Tahun ini, kita tambah Public Bank selain Bank Simpanan Nasional (BSN), Maybank dan CIMB supaya mereka dapat membuat pembayaran di majlis-majlis tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Imarah Perpustakaan 1Malaysia Kampung Tersusun Batu 6, Tambun, di sini hari ini.
Sebanyak 3.2 juta permohonan baharu diterima kerajaan membabitkan program BR1M 2.0 selepas 4.1 juta isi rumah menerima bayaran bantuan tersebut tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan