Halaman

Jumaat, 18 Januari 2013

Benarkah Putrajaya Kekal Milik Barisan Nasional (BN)

Penganalisis politik yakin Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan kuasa di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tetapi dengan sokongan dilihat akan menurun.Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, kemungkinan itu turut bergantung kepada bagaimana BN boleh menang di kawasan-kawasan yang mencatatkan kemenangan dan kekalahan tipis pada PRU lalu dan di kawasan campuran.

"Barangkali kepada pembangkang pula, mereka tidak sekadar melihat kepada pilihan raya yang ke-13. Saya percaya mereka melihat melangkaui PRU13 iaitu pilihan raya yang ke-14. Mungkinkah perubahan hanya akan dapat dilihat selepas PRU13?" kata beliau pada Wacana Pra-PRU13 : BN Vs PR, Kelebihan Milik Siapa? di sini, semalam.

Menurut Siva, 17 kerusi yang dimenangi oleh kedua-dua parti di bawah majoriti 1,000 akan menjadi kayu pengukur kepada perubahan.Kerusi-kerusi itu termasuk seperti Padang Terap, Sik, Lumut, Bakri, Sandakan, Sarikei, Limbang, Wangsa Maju, Kota Kinabalu.

"Ini adalah antara kerusi yang akan dikatakan sebagai indikator turun naik majoriti dalam pilihan raya umum akan datang, tidak termasuk 63 kawasan campuran."Walaupun (Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara) Dr Shamsul Amri memberikan angka yang berlainan, bagi saya, wujud 63 kawasan campur di mana kawasan itu mungkin menjadi penentu kepada kejayaan atau keterhakisan sokongan," katanya.

Ujar beliau, bukan  mudah untuk mengukur pola pengundian bagi pilihan raya kali ini. "Sebelum 2008 mudah untuk mengatakan bahawa ada yang menyokong parti, ada yang menyokong isu, ada yang menyokong calon," jelas beliau.Pilihan raya lalu merupakan sejarah paling pahit buat BN yang gagal mempertahankan majoriti dua pertiga.

Ia pencapaian terburuk BN setelah lebih 50 tahun menerajui tampuk pemerintahan negara. Meskipun kebangkitan rakyat begitu memuncak pada pilihan raya umum yang lalu dengan sokongan rakyat memihak kepada pembangkang, keadaan itu bagaimanapun sukar diramal untuk kali ini.

"Dalam konteks selepas 2008, kelompok pengundi atas pagar bertambah besar. Mereka tidak percaya kepada sifat kepartian. Ada juga yang tidak percaya kepada calon. Isu telah menyumbang kepada keterhapusan sokongan pada 2008."Pengundi atas pagar ini akan memainkan peranan yang cukup besar dalam pilihan raya akan datang," ujar Siva.
Tambahnya, pengundi atas pagar ini unik apabila mereka bukan menilai menerusi calon atau parti sebaliknya berdasarkan interpretasi mereka sendiri.

"Apakah mereka cintakan revolusi atau transformasi, apakah mereka mahu melihat demi Rakyat atau Janji Ditepati... pelbagai faktor akan menyumbang kepada PRU13. Bukan satu-satunya faktor."Saya percaya kedua-dua parti, baik Barisan Nasional atau pakatan pembangkang, ada kekuatan ada kelemahan apabila kita lihat hari ini masing-masing sudah memiliki tiga 'M'. Money, Machinery, Media," tambah beliau lagi.-SHs

Tiada ulasan:

Catat Ulasan