Halaman

Ahad, 1 April 2012

Zambry Sahut Cabaran Nizar Bekas Menteri Besar Perak Berani Kerana Benar @ZambryAbdKadir


LENGGONG - "Kerana beliau cabar saya, saya akan kemukakan bukti yang beliau ada membuat perbincangan dengan syarikat berkaitan mengenai persetujuan projek Vale di Teluk Rubiah,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika mengulas kenyataan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mencabar beliau mengenai isu berkenaan. 

Menurut Zambry, melalui pendedahan dokumen atau bukti diperkatakan akan menentukan sama ada beliau atau Nizar yang bercakap bohong. “Terima kasih kepada Nizar kerana telah mencabar saya untuk menunjukkan dokumen itu dan sebelum saya mengeluarkan sebarang kenyataan, sudah tentulah di tangan saya sudah mempunyai bukti.


“Apabila dokumen sudah dikemukakan, barulah rakyat tahu bagaimana seorang pemimpin boleh berbohong dan tidak rasa berdosa dengan tindakan itu. “Beliau sendiri telah mengesyorkan kepada saya supaya menunjukkan bukti dan saya sudah pun melakukan penyiasatan mengenai isu serta projek ini. “Beliau mendakwa tidak bersetuju projek Vale diadakan di Teluk Rubiah ketika pemerintahan Pakatan pembangkang dahulu, tetapi saya akan kemukakan bukti yang beliau ada membuat perbincangan dan terlibat dengan proses pertukaran tanah,” katanya pada sidang media ketika merasmikan Pesta Sukan dan Kebudayaan Parlimen Lenggong di sini, semalam. 

Beliau berkata, dokumen berkenaan akan didedahkan apabila sudah tiba masanya yang akan dimaklumkan kemudian. “Kita tidak mahu dokumen kerajaan dibuka sesuka hati saja kerana sebagai sebuah kerajaan, kita tidak bermain dengan politik murahan. “Beliau cabar saya, saya akan tunjukkan dakwaan kononnya tidak pernah meluluskan projek Vale di Teluk Rubiah sedangkan beliau sebelum ini pernah menghantar surat sokongan kepada pihak tertentu,” katanya. 

Zambry turut difahamkan pihak pembangkang ada membuat demonstrasi bantahan di Vale mengenai isu berkenaan semalam, namun beliau berpendapat tindakan itu bertujuan mengaitkannya dengan Pilihan Raya Umum (PRU13) seperti isu Lynas. “Saya difahamkan ada demonstrasi di Vale dan mereka ingin menjadikannya seperti isu Lynas yang kononnya didalangi oleh badan bukan kerajaan (NGO). 

“Tetapi kita lihat siapa yang datang dan ia diketuai oleh Nizar sendiri serta dianggarkan dihadiri 150 orang yang pada asalnya menyasarkan 5,000 orang,” katanya. Jumaat lalu, Sinar Harian menyiarkan kenyataan Nizar yang mengakui ada perbincangan dibuat dengan syarikat Vale mengenai pelaksanaan projek mereka tetapi tempat yang dicadangkan adalah di Tanjung Hantu, bukan Teluk Rubiah.

Katanya, Teluk Rubiah bukan lokasi yang dicadangkan untuk membangunkan projek berkenaan kerana kawasan itu merupakan pengkalan TLDM dan pusat peranginan terindah di negeri ini. Malahan katanya, bayaran premium yang dikenakan juga rendah dan tidak akan menyusahkan mana-mana pihak yang terbabit dalam projek berkenaan. Nizar turut akui tidak gentar jika Zambry ingin mendedahkan sebarang dokumen membabitkan projek tersebut. 

“Jika dia (Zambry) nak dedah, silakan, kerana apa yang saya buat sebelum ini terutamanya berhubung pemilihan tempat untuk melaksanakan projek itu dilakukan demi kepentingan rakyat. “Sewaktu pemerintahan PR, kami memang tidak bersetuju projek tersebut dijalankan di Teluk Rubiah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan