Pengumuman Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang akan melepaskan jawatan disifatkan sebagai tepat dan mulia serta perlu dijadikan contoh teladan kepada pemimpin-pemimpin lain.
Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid memberitahu, tindakan Shahrizat itu memang tepat pada masanya kerana ia akan memberi kesan positif kepada kerajaan dan UMNO pada pilihan raya umum akan datang.
''Keputusan tersebut telah memberikan kelebihan besar kepada Barisan Nasional (BN) kerana ia mampu menarik kembali keyakinan rakyat.
''Jika pilihan raya umum diadakan dalam tempoh terdekat, tidak mustahil BN akan kembali mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada pengumuman Shahrizat yang akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebaik sahaja penggal keanggotaannya selaku Ahli Dewan Negara tamat pada 8 April ini.
Tegas beliau, keputusan Shahrizat itu perlu menjadi satu budaya yang sihat kepada pemimpin politik sebagaimana telah dipraktikkan di negara luar.
''Sepatutnya rakyat perlu memuji keputusan beliau kerana sanggup melepaskan jawatan demi kepentingan parti.
''Janganlah jadi seperti beberapa pemimpin yang sudah terang-terang bersalah tetapi terus mahu memegang jawatan dengan alasan kononnya masih mendapat sokongan rakyat," jelasnya.
Sementara itu, Felo Penyelidik Utama di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anis Yusal Yusoff berkata, setiap ahli politik perlu meletakkan kepentingan organisasi melebihi kepentingan peribadi sekiranya mahu melihat sesebuah parti sentiasa relevan mengikut perubahan zaman.
Menurutnya, semua itu perlu dilakukan kerana tahap pemikiran rakyat sekarang semakin matang dalam membuat pertimbangan, lebih-lebih lagi dalam isu politik.
''Pemimpin politik di negara ini perlu sentiasa peka dengan kehendak rakyat, bukan lagi terlalu mengejar pangkat dan kedudukan.
''Jika lebih ramai pemimpin sanggup membuat keputusan seperti Shahrizat, persepsi negatif mengenai politik akan hilang dengan sendirinya," katanya.
Anis menambah, sekiranya tahu rakyat sendiri telah hilang kepercayaan terhadap seseorang pemimpin, adalah lebih molek sekiranya mereka itu sendiri meletakkan jawatan agar sesebuah parti itu terus mendapat sokongan.
''Tidak ada gunanya menjadi pemimpin yang hanya 'syok' sendiri, sedangkan mereka sekadar menumpang populariti parti semata-mata untuk menang dalam pilihan raya," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan