Halaman

Isnin, 13 Februari 2012

Tan Sri Muhyiddin Yassin Berkata Kakitangan Awam Haruslah Memikul Tanggungjawab Mempertahankan Kebenaran Berasaskan Fakta


Penjawat awam termasuk warga pendidik di negara ini tidak wajar bersikap apologetik dalam menangkis tohmahan pembangkang yang sedaya upaya mahu menidakkan segala sumbangan besar kerajaan membangunkan negara selama ini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun tiada polisi menuntut penjawat awam berpolitik, warga pendidik wajar memikul tanggungjawab mempertahankan kebenaran berasaskan fakta bagi menjelaskan segala dakyah yang dilemparkan.

"Sebab itu kita lihat peranan guru yang berpengaruh membantu kerajaan menjelaskan perkara yang haq (benar) dan kita tidak harus bersikap apologetik tentang apa yang kerajaan Barisan Nasional (BN) lakukan. "Walaupun kita penjawat awam, kita perlu ada rasa tanggungjawab, kalau ada yang diperkatakan pembangkang itu salah maka kita sama-sama jelaskan. Jika kita tidak mempertahankan yang benar maka bagi saya itu adalah satu kegagalan," katanya. 


Beliau berkata demikian ketika sesi dialog sempena Program Pengurusan Pementoran Perkhidmatan Awam Bersama Warga Pendidik Perak yang dihadiri kira-kira 3,000 pegawai pendidikan, pengetua, guru besar serta guru di sini hari ini. Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran negeri, Datuk Mohd. Zahir Abdul Khalid. Dalam sesi interaktif itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran ditanya oleh seorang guru mengenai peranan yang boleh dimainkan oleh mereka dalam menangkis tohmahan pembangkang yang dilihat semakin keterlaluan. 

Muhyiddin berkata, dalam keadaan kerajaan berdepan serangan bertubi-tubi pembangkang yang membuat fitnah dan tohmahan tidak berasas, penjawat awam wajar memberi penjelasan sekiranya menganggap ia berada di luar batasan kebenaran. "Rakyat digambarkan dalam papa kedana, kita digambarkan daif seolah-olah tiada kemajuan yang dicapai, seolah-olah tiada satu nikmat yang mampu dikecapi oleh rakyat hasil perjuangan BN selama ini.
"Sebab itu ketika kerajaan diserang bertubi-tubi pembangkang dengan fitnah dan tohmahan, jika kita berasakan ia tidak benar, maka kita boleh memberikan penjelasan," katanya. Dalam hubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan boleh membantu dalam menyediakan bahan berbentuk fakta berhubung dasar-dasar kerajaan dalam membela nasib rakyat selain yang menyentuh polisi pembangunan ekonomi. 

Menjawab pertanyaan mengenai kadar elaun guru besar sebanyak RM100 yang didakwa terlalu rendah, Muhyiddin berkata, beliau akan meneliti perkara tersebut dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk kemampuan kewangan kerajaan. "Saya janji perkara ini kita akan semak. Pada prinsipnya saya setuju tetapi bukan saya yang membayar duit itu, yang bayar Perdana Menteri," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan