Halaman

Sabtu, 4 Februari 2012

Tadbir Urus Salurkan Program Kebajikan

MARANG 3 Feb. - Pelbagai program kebajikan yang dirangka bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dapat dilakukan secara berterusan kerana kemampuan kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir urus kekayaan negara dengan baik.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sesetengah pendekatan atau langkah yang diambil tidak pernah dilakukan oleh mana-mana negara.

Menurutnya, program-program ke arah kebaikan itu yang cuba diberi gambaran buruk oleh pembangkang, dibuat tanpa perlu meminjam daripada institusi kewangan luar seperti Bank Dunia mahupun Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

"Ini semua kita mampu buat sebab tadbir negara dengan baik sehingga membolehkan kekayaan dapat dipindahkan kepada rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Rakyat di Padang Astaka Majlis Daerah Marang di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Yahya Khatib Mohamad.


Pada majlis itu beliau menyampaikan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada penduduk di Parlimen Marang di samping bantuan enjin sangkut kepada nelayan dan kerusi roda kepada warga emas.

Menurut Perdana Menteri, sepanjang tiga tahun menerajui negara, beliau sering mengingatkan wakil rakyat supaya sentiasa merasai denyut nadi rakyat dengan mengutamakan kebajikan mereka.

"Kita beri rakyat BR1M, cuba bayangkan mana ada kerajaan lain di dunia ini yang 80 peratus isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan dapat bantuan RM500 kecuali kerajaan kita (BN).

"Kita tidak pilih bulu, orang yang tidak sokong kita pun dapat juga. Dia kutuk dan maki hamun kita, tetapi bila nampak duit, dia yang pertama sekali datang beratur sedangkan orang kita yang berhujan dan berpanas dalam menegakkan kerajaan," ujarnya.

Katanya, biarpun mungkin tidak mendapat undi, semua itu tidak menjadi persoalan kerana setiap kebaikan pasti ada ganjarannya.

"Soal kepimpinan, ia berkait dengan soal kemampuan. BR1M kita mampu laksanakan, kita buat projek besar di Kuala Lumpur sebab hendak rangsang ekonomi dan dengan pertambahan hasil lima hingga enam peratus setahun kita bahagi pula kepada rakyat.

"Cukai pendapatan kita 2010-2011 bertambah RM26 bilion setahun dan daripada jumlah itu kita beri RM2.6 bilion untuk bantuan persekolahan RM100 (setiap pelajar), baucar belian buku kepada pelajar STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) dan penuntut institusi pengajian tinggi sebanyak RM200," katanya.


Menurut Perdana Menteri, jika diberi mandat untuk terus memerintah negara, lebih banyak lagi program kebajikan seumpamanya untuk rakyat akan disalurkan. 

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan