Halaman

Isnin, 27 Februari 2012

Pengumuman Pada 13 Mac Akan Mengembirakan Kakitangan Awam


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan satu keputusan yang adil dan saksama untuk semua penjawat awam dalam tempoh terdekat. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, keputusan tersebut melibatkan keseluruhan penjawat awam serta soal soal pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). 

''Kita tunggu (sama ada ia menggembirakan atau tidak). Kita belum tahu keputusan itu tetapi telah diberi gambaran dan kita rasa ia merupakan gambaran yang jelas dan baik. ''Tidak kira apa jua pengumuman itu, kita menghormati keputusan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan selama 45 minit dengan Najib di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini. 


Selain Perdana Menteri, pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan sembilan pemimpin tertinggi CUEPACS. Semalam, Omar dilaporkan berkata, CUEPACS menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji 1.3 juta penjawat awam dari gred 1 hingga gred 54 antara RM700 hingga RM2,500. 

Menggambarkan pertemuan hari ini sebagai harmoni dan ceria, Omar berkata, perbincangan dengan Najib itu bagaimanapun tidak menyentuh beberapa tuntutan CUEPACS termasuk berkaitan kenaikan gaji. ''Pertemuan ini dijalankan bagi menyampaikan maklum balas penjawat awam mengenai SBPA.

Kita tidak membentangkan hasil bengkel termasuk mengenai tuntutan kenaikan gaji. ''Kerja-kerja petugas khas bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai SBPA juga belum selesai," katanya. Dalam pada itu, Omar memberitahu, satu perhimpunan penjawat awam besar-besaran melibatkan 15,000 orang termasuk dari Sabah dan Sarawak akan diadakan di Stadium Bukit Jalil di ibu negara.

''Perhimpunan ini akan turut dihadiri Perdana Menteri dan pihak CUEPACS mencadangkan ia diadakan pada 12 Mac, perkara ini akan ditujukan kepada pihak KSN untuk pengesahan tarikh," katanya. Sementara itu, Omar berkata, Najib pada pertemuan hari ini telah melahirkan sokongan terhadap penubuhan Kelab Pesara Kumpulan Pelaksana yang baru ditubuhkan. ''Satu perhimpunan oleh ahli kelab akan diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Sri Perdana, tarikhnya belum ditentukan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan