Halaman

Rabu, 22 Februari 2012

MBI Harus Mengambil TindakanTerminal Bas Ekspress Medan Gopeng Uzur, Kotor Dan Berbau Busuk @ZambryAbdKadir


Terminal Bas Ekspress Medan Gopeng antara lokasi yang sentiasa sibuk dan tidak putus-putus menerima kunjungan pengguna pengangkutan awam itu yang datang dari seluruh negara. 

Sebagai pintu masuk pelancong ke bandaraya Ipoh khususnya dan Perak amnya, terminal bas ini seharusnya mencerminkan status Ipoh sebagai bandar raya yang dahulunya pernah dikenali antara bandar raya terbersih di Malaysia. 

Namun, keadaan berlaku sebaliknya kerana terminal itu bukan sahaja kelihatan usang tetapi juga tahap kebersihan di kawasan sekitarnya amat mengecewakan hingga menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan pengunjung. 


Kelihatan sampah sarap yang berlonggok di beberapa kawasan sekitar terminal tidak dikutip dan dibersihkan hingga menimbulkan bau busuk. Tinjauan Perak Today.com di terminal itu baru-baru ini mendapati ada beberapa lokasi pembuangan sampah di kawasan itu termasuklah di bawah tangga yang menuju ke medan selera yang terletak di tingkat atas. 

Longgokan sampah mungkin diletakkan oleh peniaga yang beroperasi di terminal berkenaan dan masalah itu mengundang bau busuk dan persekitaran yang tidak terurus dari segi kebersihan. Lokasi bawah tangga itu dianggap sebagai tong sampah’ terdekat oleh segelintir pemilik kedai berdasarkan penemuan banyak kotak-kotak kosong selain pelbagai alatan yang digunakan oleh peniaga di situ. 

Selain itu, keadaan di bahagian luar terminal tidak kurang kotornya kerana turut menjadi tempat pembuangan sampah oleh pengunjung yang tidak bertanggungjawab. Ini pastinya menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan pengguna kerana mereka bukan sahaja terdedah dengan pencemaran udara yang datang dari asap bas ekspres tetapi juga terpaksa menghidu bau busuk sampah yang meloyakan tekak. 

Tahap kebersihan medan selera yang terletak di tingkat satu bangunan itu juga didapati kurang memuaskan. Persoalannya, siapa yang harus kita salahkan apabila perkara seperti ini berlaku, adakah pihak pengurusan, pemilik premis kedai atau pun pengunjung itu sendiri? Sudah tiba masanya untuk tempat tumpuan awam seperti Terminal Bas Ekspress Medan Gopeng berubah wajah dan dilengkapi dengan kemudahan yang moden dan canggih seperti yang dapat dilihat di stesen bas Puduraya di Kuala Lumpur. 

Antara isu yang perlu diberi perhatian ialah memastikan medan selera yang disediakan untuk kemudahan pengunjung sentiasa bersih. Perkhidmatan bas henti-henti di sekitar kawasan bandaraya juga perlu ditingkatkan supaya tidak ketinggalan zaman. Bandaraya Ipoh bukan sahaja memerlukan perubahan secara fizikal tetapi juga infrastruktur yang perlu diubahsuai untuk mengindahkan lagi suasana dan persekitarannya apatah lagi tahun ini dinobatkan sebagai Tahun Melawat Perak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan