Halaman

Isnin, 20 Februari 2012

Barisan Nasional (BN) Mampu Mencapai Kejayaan Lebih Besar Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)


Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Barisan Nasional (BN) mampu mencapai kejayaan lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berikutan gelombang kesedaran baru di kalangan rakyat yang kembali menyokongnya. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, gelombang kesedaran baru itu berdasarkan maklumat dan reaksi masyarakat secara keseluruhan di seluruh negara, khususnya terhadap pelbagai program transformasi dilakukan kerajaan dan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

Katanya, banyak program transformasi yang digerakkan sejak PRU-12 menyentuh perasaan rakyat dan mereka turut menghargai pembangunan ekonomi yang dibawa BN, di mana ia mendapat pujian banyak pihak, termasuk Bank Dunia dan IMF (Tabung Mata Wang Antarabangsa). 


“Bila kita membuat bacaan mengenai sikap rakyat ini, kita mendapati sokongan rakyat kepada BN sudah bertambah kukuh dan lebih baik berbanding beberapa tahun sebelum ini. Jika dilihat dari sudut pilihan raya ia adalah sikap pengundi yang nampaknya sudah kembali kepada BN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kenduri Rakyat 1Malaysia di Kampung Permatang Tepi di sini, semalam. 

Hadir sama, isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Tsu Koon serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman. Terdahulu, Muhyiddin mengadakan perjumpaan tertutup dengan Zainal, pemimpin UMNO serta BN Pulau Pinang di Menara UMNO, Georgetown. 

Sementara itu, Muhyiddin turut menempelak Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang bersikap sombong dan angkuh sehingga lupa jasa pemimpin Barisan Nasional (BN) yang membangunkan Pulau Pinang menjadi negeri termaju di Malaysia. 

Katanya, beliau menerima banyak maklum balas daripada penduduk Pulau Pinang mengenai sikap Guan Eng yang menunjukkan seolah-olah negeri ini maju selepas pembangkang mentadbir. “Jika Guan Eng rasional, beliau sewajarnya mengakui peranan dimainkan bekas Ketua Menteri, mendiang Tun Dr Lim Chong Eu dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

“Sudah tiga tahun lebih Guan Eng memerintah tetapi menunjukkan sikap sombong dan bongkak dengan menafikan usaha BN terdahulu... Tsu Koon pun tidak kurang hebatnya. Rakyat sudah mula sedar.

“Jika bersikap rasional, dia kena mengakui apa yang BN buat dulu... bukannya oleh pakatan pembangkang. Itu semua (pembangunan) ketika BN... takkan orang Pulau Pinang buta... orang Pulau Pinang pun tahu,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan