Halaman

Jumaat, 3 Februari 2012

Angkara Berebut Pakwe Di Facebook Seorang Remaja Dibelasah Teruk


Akibat perang Facebook, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dibelasah, termasuk dipijak dan ditendang sekumpulan kira-kira 15 pelajar perempuan dari sekolah sama berhampiran sebuah sekolah menengah di sini, petang kelmarin. Mangsa dipercayai diserang berikutan beberapa komennya di dalam laman sosial Facebook, baru-baru ini, yang dikatakan mengeluh kerana asyik dibuli sejak lebih sebulan berpindah ke sekolah itu, awal tahun ini. 

Anak sulung daripada dua beradik itu cedera di tangan dan badan, selain lebam dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, berikutan muntah dan mengadu sakit dada. Dalam kejadian itu, mangsa yang baru berpindah dari Sungai Petani, Kedah, dikatakan dikerumuni kira-kira 15 pelajar perempuan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebaik selesai menjalani latihan sukan di sekolah kira-kira jam 6.30 petang. 


Mangsa yang menaiki basikal seorang diri dikatakan dikepung dan basikalnya ditendang tiga hingga empat daripada 15 pelajar berkenaan, sebelum terjatuh di kawasan taman perumahan di belakang sekolahnya di Jalan Raja Syed Alwi di sini. Apabila terjatuh, seorang pelajar lain memijak dan memukul mangsa sebelum disertai pelajar lain yang turut sama memukul dan menendang kepala mangsa selain menarik rambutnya. 

Ibu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Latifah, 30-an, berkata dia sedih dan kesal kerana tiada seorang pun pelajar yang menyaksikan kejadian berani membantu anaknya yang ketika itu menjerit meminta tolong. Anak saya dibelasah teruk berdekatan sekolah, namun, tiada seorang pun berani membantunya. Malah, dua pelajar lelaki dari sekolah sama yang menyaksikan kejadian itu hanya ketawa melihat anak saya dibelasah. Dia (mangsa) yang lemah tidak berdaya selepas dibelasah. 

Dalam kesakitan, dia berjalan sendiri untuk pulang ke rumah selepas ditinggalkan kumpulan pelajar terbabit, katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Kangar. Mangsa yang dibenarkan pulang selepas diberi rawatan pesakit luar, bagaimanapun dihantar ke HTF semalam dan dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut selepas mengadu sakit dada serta muntah di rumah. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Ismail Che Isa, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan. Kita sedang menyiasat jumlah pelajar yang terbabit dalam kejadian itu dan sudah kenal pasti empat pelajar perempuan berusia 15 tahun daripada sekolah sama yang disyaki terbabit, katanya. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan, selain Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan